Program ‘investED’: Graduan Hari Ini Perlu Sesuaikan Keadaan Dengan Permintaan – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Graduan pada hari ini perlu menyesuaikan keadaan dengan permintaan tenaga mahir dan pekerjaan di luar sana, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Program ‘investED’ yang telah dilancarkan pada Jun tahun lalu mampu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan di samping memastikan saluran bakat mampan bagi mengurangkan kekurangan tenaga mahir.

“Program ‘investED’ ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada Jun 2023 lalu bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan saluran bakat mampan untuk membantu mengatasi isu kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.

“Inisiatif ini mendapat kerjasama pertama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bursa Malaysia dan peserta industri pasaran modal terkemuka dengan pembiayaan sebanyak RM30 juta daripada Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF).

“Hari ini (Isnin, 27/5), saya telah menyempurnakan Majlis Graduasi Program ‘investED’ yang diadakan di Kuala Lumpur dan anugerah untuk pelajar serta kumpulan terbaik. Majlis hari ini juga menyaksikan kejayaan 169 graduan Program Kepimpinan dan 192 orang pelajar asasi yang telah berjaya menamatkan program investED Kohort Pertama. Tahniah saya ucapkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, program tesebut akan menyediakan pengetahuan pengenalan dan pensijilan asas mengenai pasaran modal serta tamat dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

“Dalam ucapan, saya singgung menyatakan bahawa graduan pada hari ini perlu menggarap dan menyesuaikan keadaan dengan permintaan tenaga mahir serta pekerjaan di luar sana. Mahu atau tidak, program khas seperti ini yang mengenalpasti kehendak pasaran kerja sangat penting bagi melahirkan kumpulan graduan yang akan mendapat pekerjaan selepas tamat nanti.

“Bermula pada Ogos 2023, program ini menyediakan pengetahuan pengenalan dan pensijilan asas mengenai pasaran modal, dan tamat dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Ini juga merupakan cetusan idea menarik daripada sahabat saya, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin. Beliau telah berjaya mencari ruang dan peluang untuk diisi oleh graduan mencari pengalaman seterusnya mendapat pekerjaan.

“Saya juga menyentuh mengenai isu utama yang negara kita berdepan sekarang ini iaitu dengan kekurangan tenaga kerja atau ‘deficit talent’ yang membimbangkan dalam pelbagai industri dan seterusnya telah menimbulkan cabaran besar kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha untuk memastikan kebolehpasaran graduan dipertingkatkan dan berharap ia akan diteruskan.

“Atas sebab itu, KPT dan beberapa agensi berkaitan berusaha berkolaboratif untuk merapatkan jurang yang luas antara bekalan dan permintaan dalam pasaran tenaga mahir kita.

“Terima kasih kepada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta industri pasaran modal atas segala usaha dalam memastikan kebolehpasaran graduan kita. Saya berharap program seperti ini akan diteruskandan menghasilkan lebih banyak ruang dan peluang untuk graduan dan seterusnya menghasilkan ekonomi negara yang lebih stabil dan kukuh,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.