Pembinaan Semula Jambatan Permudahkan Urusan Masyarakat Setempat – Jalaluddin

JELEBU, 28 Mei – Tiga jambatan masing-masing di Kampung Chalin, Kampung Sungai Limau dan Kampung Lubuk Ganchung di sini yang musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 sudah siap dibina.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata biarpun berstatus jambatan pertanian, ia turut menjadi laluan utama bagi kira-kira 300 penduduk di ketiga-tiga kampung berkenaan.

Katanya pembinaan kesemua jambatan itu membabitkan kos berjumlah RM1.5 juta menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Jambatan sepanjang 36 meter itu mula dibina pada Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya Februari dan Mac lalu sudah pasti memberi kelegaan kepada penduduk.

“Biarpun pembinaannya lewat atas pelbagai faktor, penantian penduduk bagi mendapatkan jambatan baharu sudah pun berakhir,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Jambatan Di Kampung Chalin, Isnin.

Hadir sama Pengarah KKDW Negeri Sembilan/Melaka Norazlin Mohd Nor dan Pengawai Daerah Jelebu Abdul Rahim A.Aziz.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perladangqn dan Komoditi negeri berkata pembinaan ketiga-tiga jambatan itu turut mencatat sejarah berikutan menjadi projek jambatan pertama yang dilaksanakan oleh Unit Teknikal KKDW Negeri Sembilan.

Katanya pembinaan jambatan pertanian itu amat penting kerana bukan sahaja menjadi laluan penduduk kampung ke jalan utama tetapi juga ke kebun-kebun pertanian berhampiran.

Sementara itu Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata jambatan di Kampung Bemban yang juga musnah dalam banjir besar itu akan mula dibina tidak lama lagi.

Katanya ketika ini kerajaan dalam proses memilih kontraktor bagi membina jambatan kekal merentasi Sungai Triang membabitkan kos dianggarkan lebih RM10 juta.

“Ketika ini penduduk dari kampung berkenaan menggunakan jambatan bailey yang dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Januari 2022 bagi menghubungkan penduduk untuk ke Kampung Jerang dan Simpang Durian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata jambatan di FELDA Titi yang juga musnah akibat banjir akan dibina semula membabitkan kos RM12 juta.

“Ketika ini kajian sedang dijalankan bagaimana untuk mengatasi masalah tebing runtuh yang masih berlaku dan masalah runtuhan itu perlu diatasi sebelum kerja pembinaan jambatan dimulakan,”katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.