Peluang Kedua Kepada Bekas Ahli Parti… Mereka Perlu ‘Taubat Nasuha’ Sebelum Diterima

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Veteran UMNO Malaysia berharap usaha untuk menerima kembali bekas ahli UMNO yang dibuang parti mesti dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang salah langkah yang boleh membawa kesan buruk.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata ia sebaliknya perlu disertakan syarat-syarat ketat kepada mereka atau erti kata lain ‘taubat nasuha’ sebelum diterima kembali.

“Cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, itu berniat baik bagi memberi peluang kedua kepada mereka.

“Sekiranya tindakan menerima semula mereka ke dalam UMNO boleh memperkuatkan parti maka Veteran menyokong sepenuhnya.

“Tapi sekiranya kemasukan semula ke dalam UMNO boleh memecah-belahkan parti maka lebih baik mereka berada di luar UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau dalam pada itu berkata tidak timbul isu UMNO terdesak seperti yang didakwa oleh Isham Jalil kerana ahli UMNO bertambah setiap hari walaupun ramai yang sudah meninggal dunia.

“Tidak dinafikan ramai ahli UMNO yang mengambil pendirian tunggu dan lihat dan tidak berpuas hati dengan kerjasama UMNO/PH (Pakatan Harapan) sekarang tetapi mereka tetap ahli UMNO.

“Sepanjang sejarah UMNO ramai pemimpin yang keluar atau dibuang parti diterima balik. Antaranya Mahathir (Tun Mahathir Mohamad). Jadi tidak pelik sekiranya ia berlaku sekarang.

“Semuanya demi parti Melayu ini yang perlu dipertahankan. Biduk lalu kiambang bertaut. Carik-carik bulu ayam boleh bercantum semula. Apa yang penting ialah semua pihak mesti ikhlas dan sanggup melupakan cerita lama,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata parti bersedia menerima bekas pemimpin dan ahli parti yang telah disingkirkan sebelum ini.

Menurut ini kerana ada dalam kalangan mereka yang disingkirkan selepas proses pemutihan mahu menjadi ahli UMNO semula selepas melihat keadaan parti itu ketika ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.