Ahmad Zahid Tiba Di Beijing, Destinasi Terakhir Lawatan Rasmi Ke China

BEIJING, 28 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selamat tiba di Beijing, hari ini, sebagai destinasi terakhir lawatan rasmi beliau ke China.

Ketibaan beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, kira-kira jam 4.30 petang (waktu tempatan) disambut oleh Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Ahmad Zahid ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022, dan ia atas jemputan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.

Ahmad Zahid tiba di ibu negara ini selepas memulakan lawatan beliau ke China dengan Hong Kong sebagai destinasi pertama pada 22 Mei lalu, diikuti Shenzhen dan Shanghai.

Di Beijing, beliau dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang, selain mengadakan perbincangan dengan Xuexiang dan Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam, Wang Xiaohong.

Ahmad Zahid juga akan menjadi tuan rumah bagi Resepsi Gala serta menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China anjuran bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Dalam lawatan di Shanghai, semalam, Ahmad Zahid menyaksikan pemeteraian kerjasama antara MARA Corporation dengan dua syarikat gergasi China bagi menerokai perniagaan bidang baharu, khususnya tenaga boleh diperbaharui, baik pulih dan penyelenggaraan bas elektrik, serta penyimpanan tenaga suria dan bateri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara turut menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti dan Pelajar Malaysia di Shanghai pada Ahad lalu.

Selain itu, beliau melawat ibu pejabat Huawei serta menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Komuniti dan Pelajar Malaysia di Shenzhen ketika berkunjung ke wilayah itu.

Di Hong Kong pula, Ahmad Zahid mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, John Lee Ka-chiu.

Lawatan rasmi selama 11 hari itu turut disertai Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan lawatan Ahmad Zahid adalah bagi memperkukuh hubungan dua hala, dan beliau dijangka menerokai peluang kerjasama terutama dalam bidang pendidikan yang memfokus kepada TVET, pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.

Malaysia dan China menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974, dan ini adalah lawatan pertukaran pemimpin tertinggi masing-masing sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Pada 2023, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion) menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia dan semasa tahun yang sama.

Sejumlah 64 projek perkilangan telah diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM12 bilion (AS$2.6 bilion).

China berada di kedudukan kelima sebagai pelabur terbesar dan projek terbabit dijangka mewujudkan 9,305 pekerjaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.