Peredaran Masa Tuntut Perubahan Untuk Dapatkan Informasi

SABAK BERNAM, 27 Mei – Akar umbi UMNO perlu memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat pada masa kini bagi mendapatkan info sahih berkaitan parti, kata Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob.

Menurut beliau, peredaran masa menuntut perubahan tersebut dalam mendapatkan informasi dengan lebih mudah menerusi internet dan telefon bimbit.

“Parti akan lumpuh kalau anda tidak ada hubungan dengan parti namun hubungan dengan parti tidak bermaksud hanya datang ke penerangan-penerangan ini.

“Ini kerana zaman telah berubah. Kini anda boleh dapat (maklumat) melalui telefon bimbit masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di UMNO Bahagian Sabak Bernam, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Naib Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam; Abdul Samad Dawood dan kepimpinan bahagian.

Sementara itu, Suraya turut menambah media rasmi parti iaitu UMNO Online memainkan peranan tersendiri dalam sistem
penyampaian parti.

Ini kerana, media ini memaparkan berita-berita terkini membabitkan perjalanan parti dan gerak kerja pemimpin bersama rakyat.

“Semua berita terkini ada buka saja UMNO Online. Tidak ada page yang lebih hebat daripada UMNO Online dalam semua parti di dunia ini.

“Lawanlah dengan Pas… lawanlah dengan Dap. Memang Penerangan UMNO yang buat kemas kini sebab ada wartawan serta editor yang menulis berita mengenai UMNO pada setiap masa.

“Termasuk juga berita berkenaan
pemimpin-pemimpin UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.