Jangan Malu Cerita Wajah Sebenar Malaysia Dari UMNO – Sharif Musa

LAHAD DATU, 27 Mei – Ahli UMNO jangan malu dan segan untuk memperjuangkan parti keramat ini, kerana lihat wajah Malaysia hari ini adalah realiti sebenar perjuangan parti.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang mahu ahli-ahli UMNO terus memanfaatkan peluang dengan menceritakan realiti sebenar UMNO.

“Bagitahu mereka di luar sana, ini wajah UMNO sebenar… lihat wajah Malaysia hari ini, dan lihat wajah Sabah hari ini, itulah realiti UMNO yang sebenar.

“UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan, UMNO yang menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, UMNO yang menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia, UMNO yang membawa pembangunan kepada luar bandar.

“UMNO yang melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf, UMNO yang memperjuangkan FELDA, UMNO yang mengubah status negara dari pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan tinggi dan UMNO jugalah yang mencipta bangunan hingga mencakar langit,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau telah menghadirkan diri dalam beberapa menyuarat cawangan UMNO yang berlangusng di Bahagian Lahad Datu, semalam.

“Alhamdulillah. Telah berlangsung mesyuarat cawangan-cawangan UMNO Lahad Datu dengan baik. Saya sempat menghadiri beberapa cawangan yang bermesyuarat dengan jayanya.

“Sungguh terharu mendengar usul yang dikemukakan oleh ahli-ahli UMNO dalam mesyuarat tersebut. Inilah suara akar umbi yang menjadi kekuatan UMNO.”

Ujarnya, pemimpin yang telah pergi meninggalkan UMNO tetap ada pengganti kerana sokongan akar umbi tetap bertahan dari dulu, kini dan selamanya.

“Ahli UMNO jangan malu dan segan untuk memperjuangkan parti keramat ini, kerana parti inilah realiti sebenar negara kita,” katanya lagi.

Dilaporkan mesyuarat Cawangan UMNO bakal melabuhkan tirainya pada hujung minggu ini iaitu 2 Jun setelah bermula pada 22 April lalu di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Ini akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.