Beri Tumpuan Kepada Usaha Kembalikan UMNO Sebagai Juara Rakyat – Ishsam

TAPAH, 27 Mei – Pemimpin dan ahli parti perlu memberikan tumpuan kepada usaha untuk mengembalikan kedudukan UMNO sebagai juara di hati rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning menzahirkan rasa syukur kerana Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia telah selesai dilaksanakan dengan jayanya pada Rabu lalu.

“Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia izin-Nya juga, Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang dianjurkan di UMNO Bahagian Tapah telah selesai.

“Kita berjaya mengumpul ketua-ketua sayap, cawangan dan juga pemimpin-pemimpin UMNO untuk mendengar taklimat. Kita ucapkan terima kasih dan saya amat bersyukur untuk program pada hari ini (Rabu, 22 Mei),” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sebagai pemimpin parti di peringkat akar umbi seharusnya mereka akur dengan ketetapan parti dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan untuk melaksanakan tugas mereka sebaiknya.

“Bagi saya, kita berbalik kepada pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Sebagai pemimpin parti khususnya di peringkat akar umbi sepatutnya kita akur dengan kepimpinan di peringkat tertinggi kerana mereka mempunyai kepercayaan dan telah pun membuat keputusan untuk memilih sesiapa untuk menjawat sesebuah jawatan.

“Jadi, sebagai ahli parti kita patut akur. Mungkin ada pelbagai pendapat tetapi kita harus memberi kepercayaan kepada kepimpinan parti untuk menentukan siapa sahaja di kalangan kita bagi menerajui kepimpinan sama ada sebagai ketua penerangan dan sebagainya.

“Saya yakin dan percaya UMNO cukup matang. Kita ada pelbagai perbandingan pendapat. Pada pendapat saya, ia tidak menjadi sebagai salah satu isu yang boleh membuatkan UMNO berada dalam keadaan lemah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa semua ahli UMNO mempunyai hujah mereka sendiri sekiranya mereka mengusulkan sesuatu perkara.

“Saya berpendapat bahawa mereka ada hujah tersendiri. Saya sebagai kepimpinan parti di peringkat bahagian pun ada hujah. Masing-masing ada hujah. Maknanya, UMNO ini telah matang pun sebenarnya.

“Kita telah melalui pelbagai zaman, saya yakin dan percaya kita perlu menumpukan gerak kerja kita, bukannya mensensasikan cerita ini. Tetapi kita perlu menumpukan bagaimana UMNO ini harus kembali menjadi juara kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.