UMNO Beaufort Hargai Usaha Bersama Laksana Program Demi Masyarakat Setempat
BEAUFORT, 26 Mei – Pelbagai usaha dilaksana bagi memastikan masyarakat setempat mendapat pembelaan dan menambah pengetahuan termasuklah pelaksanaan kurusus jangka pendek.
Hal ini dimanfaatkan oleh UMNO Bahagian Beaufort yang menghargai usaha Jabatan KEMAS Parlimen terbabit kerana berjaya menganjurkan Kursus Kemahiran Jangka Pendek.
Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata kursus seumpama ini dapat memberikan maklumat dan kemahiran yang berguna kepada masyarakat dalam menjalankan aktiviti terutamanya melibatkan bidang perniagaan.
“Melalui kursus yang diadakan, saya percaya ia akan memberikan manfaat yang lebih banyak kepada peserta. Walaupun kursus ini dilaksanakan secara singkat, melalui perkongsian ilmu daripada tenaga pengajar dan jemputan sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan ilmu yang amat berguna yang boleh dimanfaatkan.
“Saya pasti pengetahuan yang ada dapat diguna untuk manfaat peserta bagi menjadi usahawan seperti seruan kerajaan yang mana dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan penutupan Kursus Kemahiran Jangka Pendek Masakan dan Dandanan Diri anjuran Jabatan KEMAS Parlimen Beaufort pada Jumaat.
Ujar Awang Aslee, walaupun dengan perkembangan teknologi terkini terutamanya yang melibatkan media sosial seperti Facebook, Tik Tok, Instagram, Whatsapp dan sebagainya, para peserta boleh mendapat ilmu, namun tanpa tenaga pengajar tiada tempat untuk menjadi rujuk sekiranya terdapat kesilapan di dalam mendapatlan hasil yang memuaskan terutamnya yang melibatkan promosi perniagaan.
“Tanggungjawab untuk belajar juga bukan setakat di bangku sekolah, tetapi pelbagai agensi juga banyak menawarkan kelas kemahiran.
“Namun berbeza dengan Jabatan KEMAS yang mana telah melaksanakan sistem pembelajaran sepanjang hayat secara non formal dan mengikut kesesuaian masa peserta untuk menimba ilmu malah kepimpinan UMNO sentiasa menyokong usaha sedemikian,” katanya lagi. – UMNO Online