Azalina Turun Padang Bersama Rakyat Pengerang, Santuni Guru Dan Warga FELDA

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kesibukan tugas sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal undang-undang negara tidak menghalang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turun padang menyantuni dan mengambil berat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di kawasan.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia menerusi perkongsian di Facebook berbesar hati menyertai program kemasyarakatan di kawasan bagi bertemu penduduk setempat.

Antara program yang dihadiri beliau ialah Majlis Apresiasi Semarak Pendidikan Peringkat Parlimen Pengerang 2024 yang berlangsung di Dewan Sri Penawar, Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI) bersempena sambutan Hari Guru yang dirai pada 16 Mei lalu.

“Pada majlis tersebut, seramai empat orang guru telah menerima Anugerah Ikon Guru Inspirasi Pengerang 2024 iaitu Cikgu Mohd Ahir Samsuri dari SM Sains Kota Tinggi: Cikgu Latifah Saat (SM Pengerang Utama); Cikgu Razeen Adam Rafik Thiagarajah (SK Telok Ramunia) dan Cikgu Nurizaan Mat Noor (SK Bandar Penawar 2).

“Dalam ucapan, saya menekankan bahawa kejayaan kita semua hari ini adalah hasil didikan guru-guru yang komited dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak muridnya. Meskipun ucapan ‘Selamat Hari Guru’ hanya bergema sekali setiap tahun namun tanggungjawab guru adalah pada sepanjang 365 hari setahun.

“Sebab itu, saya berkata, guru perlu sentiasa berfikiran positif dalam mengajar anak murid mereka. Guru perlu mewujudkan persekitaran yang dapat membentuk anak-anak murid mereka,” katanya.

Sementara itu menerusi satu lagi hantaran berbeza, beliau berkongsi program perjumpaan bersama kira-kira 60 warga FELDA di FELDA Air Tawar 5, Johor bagi mendengar isu-isu yang dibangkitkan warga FELDA dan mencari penyelesaian yang terbaik.

“Saya menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kepentingan semua warga FELDA. Ia adalah tanggungjawab kami demi warga FELDA. Selagi ada yang memerlukan bantuan, saya akan beri keutamaan demi kesejahteraan warga FELDA,” ujar beliau.

Mesyuarat bersama pemegang taruh juga dilakukan beliau bagi mendapatkan perkembangan semasa terhadap tumpuan pembangunan bagi manfaat rakyat Pengerang iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Coast, Khairul Ariffin Ibrahim dan seterusnya bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Zihan Ismail – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.