Pemuda UMNO Sokong Pelaksanaan Subsidi Diesel Bersasar, Seperti Dicadang BN 10 Tahun Lalu
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyokong hasrat kerajaan berkenaan pelaksanaan subsidi diesel bersasar.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ia bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan, iaitu seperti mana dicadangkan ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan sebelum ini.
“Kami menyokong penuh tindakan kerajaan untuk menyasarkan subsidi diesel yang mana subsidi bersasar kepada golongan rakyat yang memerlukan perlu diutamakan seperti mana yang pernah dilakukan oleh kerajaan BN pada 2014 dahulu.
“Walaupun ketika itu pihak pembangkang yang kini ada sebahagiannya telah menjadi kerajaan dan ada yang masih kekal menjadi pembangkang tidak menyokong cadangan tersebut.
“Sudah tiba masanya subsidi bersasar perlu diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan seperti yang pernah dicadangkan oleh kerajaan BN dahulu. Terima kasih Najib Razak kerana telah melihat perkara ini jauh lebih kehadapan ketika 10 tahun yang lepas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, pada 21 Mei Jemaah Menteri bersetuju menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel yang berupaya menjimatkan wang kerajaan RM4 bilion setahun. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebagai permulaan, langkah itu tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
Katanya, pengecualian itu diberi kerana kebanyakan keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka. – UMNO Online