Noraini Ziarah Waris Dua Anggota Polis Terkorban Serangan Balai Polis Ulu Tiram

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berbesar hati menziarahi waris dua anggota polis yang terkorban dalam serangan dilakukan oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia terlebih dahulu ke Gambang, Kuantan untuk menyantuni ibu bapa kepada Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said iaitu Ahmad Said Md Piah dan Aini Mohd Shariff.

“Ibu bapa Allahyarham kelihatan tenang menerima kehadiran kami dan sesekali dilihat menyeka air mata kerana terkesan dengan pemergian anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

“Dalam sesi ziarah tersebut, saya telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000.00 melalui Yayasan Kebajikan Negara di bawah Skim Pemberian Ehsan, Kit Kanak-Kanak & Kit Bakul Makanan (PEKA) kepada Puan Aini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Seterusnya beliau ke di Bidor, Perak untuk menemui ahli keluarga mangsa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, sambil memberikan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberikan sokongan psikologi beserta RM300 Tabung Bantuan Segera.

“Kelihatan tenang kedua ibu dan bapa Allahyarham menerima kunjungan kami. Allahyarham merupakan anak keempat daripada lapan orang adik beradik dan merupakan seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga,” ujar beliau.

Terdahulu media melaporkan, dua anggota polis terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi. Suspek berusia 21 tahun maut ditembak manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan kini stabil setelah dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pada awalnya, suspek disyaki mempunyai kaitan dengan Jemaah Islamiyah (JI) berdasarkan pembabitan bapanya yang juga ahli kumpulan pengganas berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.