Matlamat Penubuhan UiTM Perlu Dikekalkan – Noraini

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan matlamat asal penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai sebuah universiti khusus untuk menjaga kepentingan pelajar Bumiputera harus kekal dan tidak wajar diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Tegas beliau, agenda UiTM untuk meningkatkan penyertaaan masyarakat Bumiputera dalam bidang pendidikan tinggi dan profesional adalah sebahagian daripada mercu tanda pendidikan negara dan ianya harus dikekalkan keasliannya.

“Polemik yang cuba dicetuskan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dengan melabelkan UiTM sebagai ‘akademi aparteid’ adalah tidak perlu kerana Malaysia mempunyai jumlah institusi pengajian tinggi yang mencukupi untuk semua kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi jumlah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini mampu menampung pelajar daripada semua kaum termasuk bukan Bumiputera.

“Justeru, Wanita UMNO Malaysia meminta seluruh rakyat Malaysia menggunakan hak kebebasan bersuara secara bertanggungjawab dan berhenti mempersenda perihal agama, bangsa dan keturunan sehingga menjejaskan keharmonian kaum di negara ini,” ujarnya.- UMNO Online

KM Matlamat Penubuhan UiTM Perlu Dikekalkan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.