Berbaki Seminggu Tempoh Persidangan Cawangan, Momentum UMNO Terus Meningkat – Rais

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Berbaki kira-kira seminggu lagi tempoh persidangan UMNO cawangan-cawangan di seluruh negara, momentum di akar umbi dilihat masih lagi giat melaksanakan tugas serta amanah masing-masing dalam usaha melicinkan proses pentadbiran UMNO pelbagai peringkat.

Di Tangga Batu, Ketuanya Datuk Rais Yasin melihat semangat masing-masing cukup tinggi apabila momentum berkenaan berterusan dengan pimpinan peringkat cawangan serta ahli-ahli yang lain mengambil kesempatan pada hari cuti untuk memastikan persidangan dapat diadakan sebaiknya.

Beliau turun padang ke cawangan-cawangan yang mengadakan persidangan melahirkan rasa bangga melihat komitmen yang diberikan selain segala lontaran dan pandangan daripada akar umbi dalam usaha mengukuhkan UMNO di bahagian tersebut.

“Alhamdulillah… momentum persidangan diteruskan lagi dengan menghadiri mesyuarat UMNO cawangan-cawangan di bawah Bahagian Tangga Batu. Selaku Ketua UMNO Bahagian Tangga yang diamanahkan untuk memimpin akar umbi peringkat bahagian, saya meletakkan sepenuh komitmen untuk hadir dan bertemu dengan seramai mungkin ahli-ahli UMNO yang selama ini setia kepada perjuangan parti keramat ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Persidangan UMNO cawangan-cawangan bermula 22 April lalu dan akan berakhir pada 2 Jun nanti, manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian 21 Jun hingga 29 Julai dan Perhimpunan Agung UMNO 21 sehingga 24 Ogos.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput seterusnya berharap seluruh ahli pelbagai peringkat terus istiqamah dalam perjuangan apatah lagi saat-saat parti berdepan dengan pelbagai cabaran hari ini.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua kepimpinan UMNO di peringkat cawangan-cawangan kerana berjaya menjalankan mesyuarat sebaiknya. Sama-samalah kita berdoa agar seluruh ahli dan pimpinan pelbagai peringkat sentiasa istiqomah dalam perjuangan parti keramat UMNO yang kita sayangi ini,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi semangat ahli peringkat cawangan yang melontarkan pandangan dan segala cetusan untuk diambil perhatian oleh pimpinan parti.

“Antaranya saya telah hadir ke mesyuarat UMNO Cawangan Alor Jaya yang telah berlangsung dengan jayanya di bawah Iman Jamaluddin, Ketua UMNO Cawangan Alor Jaya. Tahniah atas kehadiran ahli mesyuarat yang cukup memberangsangkan.

“Seterusnya, saya bergegas singgah ke mesyuarat UMNO Cawangan Sungai Air Hitam yang dijalankan oleh Mazlan Ali selaku Ketua UMNO Cawangan Sungai Air Hitam. Segala perkara yang dibangkitkan akan diambil perhatian oleh saya, insya-Allah,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.