Ahli UMNO Perlu Ambil Tahu Perkembangan Politik, Elak Terpengaruh Diayah Negatif

PUTRAJAYA, 23 Mei – Ahli-ahli UMNO perlu mengambil tahu dan mengikuti pelbagai perkembangan politik semasa supaya tidak mudah terpengaruh dengan diayah yang dilemparkan kepada parti.

Demikian penekanan yang diberikan oleh Senator Dewan Negara merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya kepada anggota akar umbi parti menerusi mesyuarat cawangan UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini.

Katanya, anggota parti perlu bijak dan menolak tohmahan yang dibuat terhadap UMNO.

“Mereka perlu bijak menangkis apa jua tohmahan yang cuba dilemparkan musuh kepada parti termasuk cuba mengikis keyakinan ahli kepada UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu, beliau menyarankan ahli-ahli UMNO untuk mengaplikasi mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung bermula 22 April lalu hingga 2 Jun depan sebagai medan untuk kekal bersatu.

“Persidangan UMNO cawangan yang sedang berlangsung ini adalah medan untuk mereka kekal bersatu dan mencari idea bagaimana hendak terus memperkukuhkan kekuatan parti,” katanya.

Dalam hal ini, beliau juga merakamkan penghargaan kepada anggota parti akar umbi di bahagian Putrajaya yang terus menyokong perjuangan dengan melaksanakan tanggungjawab yang mengadakan persidangan.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada anggota cawangan yang telah mengadakan mesyuarat dan selamat bersidang kepada mereka yang bakal mengadakan persidangan.”

Dilaporkan, apabila selesai mesyuarat cawangan, ia akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.