Berhentilah Berteriak Salahkan Sana Sini, Fokus Utamakan Kepentingan Rakyat – Awang Aslee

KOTA KINABALU, 22 Mei – Semua pihak digesa untuk fokus kepada kepentingan rakyat dan menolak agenda peribadi khususnya menggunakan politik semata-mata.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, sekarang rakyat Sabah perlukan pembelaan malah menagih pembangunan dengan pelbagai infrastruktur khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya.

Lantaran itu katanya, dengan adanya pewujudan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini akan memberikan ruang lebih besar kepada rakyat.

“Sekarang rakyat Sabah terutamanya di kampung-kampung berpeluang menagih pembangunan dari kerajaan sama ada melalui JKDM yang baharu diwujudkan atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Awang Aslee, mana-mana pihak tidak perlulah berteriak menyalahkan sana sini kerana apa yang utama adalah pendekatan kepada pembangunan dan kemajuan keseluruhan rakyat.

“Dahulu semasa UMNO/Barisan Nasional (BN) tewas, kepimpinan parti ditolak malah ada yang memegang jawatan kecil di kampung-kampung pun ditukar atas kepentingan politik walhal kebajikan rakyat yang perlukan perhatian tidak diendahkan.

“Sekarang dengan adanya JKDM maka tentunya rakyat mempunyai peluang yang lebih besar dengan dua saluran termasuklah JKKK atau apa-apa juga jawatankuasa yang asal tujuannya adalah demi rakyat.

“Ini juga adalah bagi memastikan tanggungjawab untuk membangunkan kampung-kampung di Sabah mendapat perhatian yang lebih lagi dari kerajaan Persekutuan.”

Dalam hal berlainan, Awang Aslee memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Beaufort terus melaksanakan khidmat bakti menyantuni masyarakat di akar umbi.

“Gerak kerja turun padang dan khidmat bakti amat sebati dengan UMNO dan kita sentiasa melaksanakan agenda untuk rakyat termasuk membantu anak-anak muda dan menyokong usaha mereka. Antara yang terbaharu ialah sokongan kepada bola baling Sabah bawah 17 tahun yang akan berentap di kejohanan bola baling kebangsaan kelak.

“Awal Mei lalu saya juga telah bergegas ke Kampung Berangkok apabila rumah Taminah Rasni iaitu guru besar di Sekolah Kebangsaan Lambidan ditimpa musibah iaitu hampir habis terbakar semuanya, syukur tidak melibatkan kemalangan jiwa,” maklumnya.

Turut bersama beliau ialah ahli jawatankuasa bahagiannya termasuk Ketua Wanita, Juriffah Safflie dan Ketua Puteri, Munira Sarrie. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.