Semangat Perjuangan Terus Bergema, UMNO Labuan Semarak Perjuangan Demi Masa Depan

LABUAN, 21 Mei – Persidangan UMNO peringkat cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini menjadi bukti bahawa gerakan ke arah pengukuhan dan kebangkitannya sememangnya nyata dan sedang berlaku.

Hal ini diakui oleh Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang kagum dengan semangat dilaksanakan anggota akar umbi dalam menjayakan mesyuarat peringkat cawangan di sini.

Katanya, semua mesyuarat cawangan yang beliau hadiri memperlihatkan kehadiran yang sangat memberangsangkan malah ada cawangan yang kehadiran melimpah ruah tanda sokongan kepada UMNO.

“Kepercayaan ahli dan rakyat terhadap UMNO di Labuan telah menjadi satu fenomena baharu malah menjadi sumber semangat kepada kami kepimpinan UMNO untuk terus bekerja.

“Walaupun kerusi Labuan UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah pada pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lepas, namun kekalahan itu tidak menghentikan semangat untuk parti ini meneruskan khidmat dan menabur bakti kepada rakyat.

“Ini kerana UMNO lahir dari sokongan rakyat, maka insya-Allah UMNO akan terus kembali kepada rakyat sama ada menang ataupun kalah, susah atau senang tetap bersama dan sedaya upaya kembali bertaut,” katanya kepada UMNO Online.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan, beliau turut menyusur sejarah dan mendengar pelbagai cerita daripada ketua-ketua cawangan UMNO tentang keadaan parti selepas tewas PRU pada 2018.

“Ucapan Ismail Samad, Ketua UMNO Cawangan Batu Manikar cukup menyentuh hati, beliau menceritakan sewaktu kekalahan UMNO pada 2018, rasa terhinanya parti ketika itu, ramai yang meninggalkan dan mengkhianati perjuangan UMNO, tetapi melihat keadaan sekarang ini, kebangkitan dan sokongan rakyat cukup membanggakan.”

Katanya, kebangkitan sokongan dan kepercayaan anak muda terhadap UMNO juga menjadi satu gelombang baharu di Labuan.

“Perkara ini tidak boleh disangkal dengan pertambahan ahli baharu di kalangan anak muda di setiap pelusuk Labuan.

“Kepercayaan mereka terhadap UMNO telah mula kembali dan insya-Allah perkara ini tidak akan menjadikan kami sombong atau lupa diri tetapi akan membakar semangat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya lagi.

Terdahulu beliau hadir di cawangan terbabit sebagai perasmi mesyuarat. Sehari kemudiannya, Mohd Rafi merasmikan persidangan UMNO Cawangan Sungai Labu yang juga memperlihatkan semangat juang tinggi daripada ahli-ahlinya.

Persidangan Cawangan UMNO telah bermula pada 22 April hingga 2 Jun ini di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Apabila berakhir Mesyuarat Cawangan UMNO, ia akan disusuli mesyuarat perwakilan peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.