Peranan Jentera Penerangan Penting Bantu Naikkan Darjat UMNO, Raih Sokongan Rakyat – Suhaimi

KOTA KINABALU, 21 Mei – Jentera perangan UMNO mempunyai peranan yang sangat besar dalam usaha menaikkan kembali darjat UMNO lantas meraih sokongan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Libaran, ketua-ketua penerangan empat peringkat perlu melihat dari sudut pandang yang cukup jauh ke depan.

“Pendekatan untuk golongan muda sudah ada tapi bagaimana saranan nak dinaikkan tahap kepercayaan terhadap UMNO dan bagaimana peranan empat peringkat ini untuk membantu menaikkan darjat UMNO.

“Apa yang dapat dilihat, UMNO Sabah terus bergerak walupun kita dikekang dalam media cetak dan elektronik secara rasmi tapi kita masih lagi boleh bersuara.

“Kita dapat salurkan pelbagai input dan info semasa melalui suara-suara pemimpin tempatan maka ia harus diteruskan dan jangan tersangkut hanya di peringkat bahagian sahaja sebaliknya kita perlu berupaya untuk menjalar di akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Kursus Pengukuhan Komunikasi Peringkat UMNO Negeri UMNO Negeri Sabah yang dihadiri lebih 100 peserta melibatkan jentera empat peringkat pada Ahad.

Kata Suhaimi, ilmu yang diperoleh daripada kursus tersebut boleh dijadikan nilai tambah ke arah gerak kerja untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.

“Saya mengharapkan hasil dari kursus ini sebagai satu medium atau satu kesatuan untuk menyalurkan informasi secara lebih meluas. Boleh dikatakan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan para pemimpin UMNO turun habis-habisan namun ada yang tak sampai ke akar umbi maklumat disalurkan.

“Penyebaran luas itu perlu dilakukan dan jadikan kursus ini sebagai gerakan untuk menuju pilihan raya.”

Tegas Suhaimi juga, apa-apa yang berlaku dalam kawasan dan tindakan yang dilaksana oleh UMNO perlu diwara-warakan.

“Apa yang berlaku di kawasan berikan kepada media untuk diolah dan menjadi maklumat kepada orang ramai.

“Kita sekarang ini ada lebih 100 penerangan empat peringkat maka jika diwujudkan di akar umbi tentunya kita ada jentera yang cukup kuat. Ini kerana UMNO ada organisasi yang cukup berstruktur dan mempunyai nilai kepimpinan yang kuat.”

Ujarnya, peranan penerangan amat penting namun kegagalan dalam komunikasi akan menjadikan parti tenggelam.

“Saya mengharapkan kita sebagai ahli parti yang tunjangnya adalah penerangan aktifkan gerak kerja kerana kalau komunikasi gagal maka parti kita akan tenggelam.

“Kerana itu, jangan lagi ragu-ragu, perbetulkan iktikad kita, angkat parti kita dan teruskan gerak kerja demi kemenangan UMNO,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Bendahari UMNO merangkap ADUN Usukan, Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Said Keruak dan Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.