Isu Kupang PD: Kerajaan Negeri Mula Rangka Pelan Galakan Pengambilan Hasil Dwicangkerang

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata isu pencemaran kupang di perairan pantai Port Dickson sejak April 2024 masih dalam pemantauan rapi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Menurut beliau sampel kupang diperoleh dari semasa ke semasa untuk dijalankan ujian klinikal, sehingga yang terkini keputusannya telah diperoleh pada hari ini.

“Hasil ujian makmal terkini yang dilakukan mendapati kupang di perairan pantai Port Dickson mempunyai kandungan biotoksin sebanyak 498 per bilion (ppb) dan ini merupakan kali pertama kandungan biotoksin di bawah 800 ppb setelah hampir lapan sampel diambil sebelum ini dan mengikut kaedah analisis (Detection of Paralytic Shellfish Poisoning – PSP).

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, saya telah mengarahkan DOF Negeri Sembilan untuk menjalankan satu lagi analisis identifikasi jenis plankton sebelum sebarang keputusan membenarkan pengambilan kupang diumumkan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jalaluddin seterusnya menambah pada masa yang sama, berdasarkan perkembangan semasa, pihaknya yakin kupang di perairan pantai Port Dickson ini akan kembali selamat untuk dimakan tidak lama lagi.

Justeru tambah beliau lagi sebagai langkah awal, bermula sekarang, pihaknya juga telah meminta pihak DOF Negeri Sembilan merangka pelan galakan pemasaran dan promosi untuk pengambilan kupang atau bahan makanan berasaskan kerang-kerangan (dwicangkerang), untuk dilaksanakan apabila ujian makmal mendapati ia selamat digunakan kelak.

“Pihak DOF Negeri Sembilan akan menyelaras setiap pelan galakan pemasaran dan promosi tersebut bersama-sama jabatan, agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

“Namun buat masa ini, Kerajaan Negeri Sembilan menasihati semua pengguna agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa agar tidak memungut dan memakan hasil dwicangkerang dari perairan pantai Port Dickson selagi kandungan biotoksin berada di bawah paras bahaya,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit