Isu JKDM: Jika Hendak Serang Kerajaan Lebih Baik Letak Jawatan

KOTA KINABALU, 21 Mei – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Papar, Mohd Hairul Rahman membidas pihak yang berada dalam kerajaan namun masih mempertikaikan apa-apa keputusan yang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya Kerajaan Pusat.

Katanya, berbeza pendapat itu patut diraikan namun apabila menyatakan pendapat itu secara terbuka dengan menentang keputusan kabinet sementara masih ahli kabinet maka itu mencabuli ‘collective ministerial responsibility’.

“Tentangan seorang menteri kepada kerajaannya sendiri adalah satu perkara yang sangat kritikal. Jika masih hendak menyerang kerajaan, adalah baik untuk meletak jawatan terlebih dahulu agar tidak ada kesan kepada kestabilan dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict yang menyatakan bantahan terhadap pewujudan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Jelas Mohd Hairul, negara ini mengamalkan sistem Westminster dan prinsip ‘collective responsibility’ adalah teras sebuah kerajaan, maka dengan prinsip ini semua menteri iaitu ahli kabinet wajib menyokong keputusan yang dibuat dalam mesyuarat kabinet walaupun mereka tidak bersetuju.

“Kebertanggungjawaban bersama dikongsi oleh semua ahli-ahli kabinet baik atau buruk satu dasar-dasar kerajaan.

“Asas penubuhan sebuah kerajaan ialah membentuk keyakinan dan kepercayaan terutamanya kepada pemegang taruh seperti rakyat dan pelabur.

“Dan apabila ada ahli kabinet menyatakan pendirian berlainan daripada kerajaan secara terbuka, ia memberi gambaran yang tidak baik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.