Gunakan Saluran Betul Untuk Bertukar Pandangan Bagi Terus Perkukuh UMNO – Fadzli

KLANG, 21 Mei – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berharap akar umbi parti menggunakan saluran yang betul dalam bertukar pandangan bagi terus memperkukuh parti keramat.

Menurut beliau, tiada masalah untuk menyuarakan pandangan yang berbeza namun ia perlu dilakukan secara berhemah dalam mengekalkan rukun sesama penjawat parti.

“Dalam parti kita menerima teguran dan cadangan, cuma kadang-kadang saluran bersuara itulah yang paling penting. Saya rasa kita perlu jaga keutuhan parti kalau ada berbeza pendapat ikut saluran yang betul.

“Pada saya tak salah untuk suarakan pandangan cuma kadang-kadang cara kita bersuara itulah kerana pada saya kita masing-masing memerlukan. Ada kelemahan dan ada kelebihan sekarang masa untuk kita bersatu perbaiki parti kerana banyak isu lain yang perlu kita bagi tumpuan,” katanya ketika ditemui UMNO Online pada Majlis Pelancaran Flag-off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang ke Gaza, Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam pada itu beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berbesar hati dengan pendekatan yang dilakukan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam melaksanakan gerak kerja penerangan.

Menurut Fadzli, ini dibuktikan melalui penganjuran Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang menyaksikan UMNO bahagian Jerantut sebagai lokasi pertama pada Sabtu lalu.

“Pada saya sejujurnya kita bagi ruang kepada Datuk Seri Azalina yang saya tengok dah memulakan gerak kerja penerangan ini dan kita selaku ahli parti sokong kalau ada kekurangan, ada perlu ditambah baik kita boleh maklum ikut saluran parti, saya rasa itu yang lebih baik.

“Bagi saya beliau selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia sudah bergerak melakukan gerak kerja malah penerangan memang ada mesyuarat berkala setiap dua minggu secara atas talian dengan kumpulan penerangan UMNO Malaysia di bawah beliau.

“…dan dah ada perancangan dari segi penerangan ini, kita dah ada retreat dan di Pahang sendiri sebenarnya kita dah buat retreat penerangan melibatkan seluruh bahagian di Negeri Pahang dan di peringkat nasional atau pusat juga penerangan UMNO Malaysia pun dah anjurkan retreat dan dah mula turun padang.

“Baru-baru ni pada hari Sabtu yang lalu, bahagian Jerantut dipilih sebagai bahagian pertama untuk program penerangan UMNO Malaysia iaitu Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang mana turut melibatkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turun bagi penjelasan mengenai isu-isu politik tanah air untuk bagi kefahaman kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.