Aplikasi Komunikasi Dengan Kaedah Terbaik Untuk Teruskan Perjuangan UMNO – Suraya
KOTA KINABALU, 21 Mei – Komunikasi merupakan elemen yang amat penting dalam usaha untuk memperkuatkan lagi UMNO khususnya mengolah maklumat, mesej dan segala isu yang timbul agar disampaikan dengan jelas kepada khalayak.
Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob berkata, melalui usaha memperkukuh komunikasi diharapkan agar jentera-jentera Penerangan UMNO pelbagai peringkat dapat mengaplikasikannya hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, semua jentera memainkan peranan dalam parti namun jentera penerangan amat penting untuk fokus kepada menyampaikan maklumat selain menangkis pelbagai persepsi yang dilakukan pihak lawan.
“Komunikasi yang diaplikasi boleh ditambah baik untuk dibawa kepada bahagian dan dilaksanakan di peringkat akar umbi berdasarkan kepada situasi dan pendekatan di kawasan masing-masing.
“Bagaimana kemahiran yang ada nak digunakan bagi membantu parti sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), bahagian, negeri atau pusat yang kesemuanya adalah selari ke arah kemenangan kepada parti kita… pergunakanlah sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam majlis penutup Kursus Pengukuhan Komunikasi UMNO Peringkat Negeri Negeri Sabah, pada Ahad.
Kursus yang berlangsung selama tiga hari itu telah mengumpulkan lebih 100 peserta yang terdiri daripada penerangan UMNO empat peringkat di Negeri Sabah.
Mengulas lanjut, beliau turut melihat keupayaan peserta yang sangat komited dalam usaha mengaplikasi kepakaran menerusi teknologi untuk menyalurkan info dengan lebih kreatif.
“Para peserta yang majoritinya melibatkan golongan muda dan usia di bawah 40 tahun menandakan sokongan kepada UMNO amat baik dan parti ini mempunyai keupayaan dari segi jentera melibatkan media sosial untuk bekerja.
“Apa yang boleh disimpulkan bahawa jentera penerangan UMNO Sabah telah berada dalam tahap bersedia bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan dalam masa terdekat.”
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada UMNO Sabah atas kerjasama dengan UMNO Pusat dalam menjayakan kursus tersebut.
Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan turut disertai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Jumaat sementara majlis penutup dilaksanakan oleh Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang juga Ahli Parlimen Libaran.
Turut hadir dalam majlis penutup tersebut ialah Bendahari UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Said Keruak dan Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop. – UMNO Online