Tiada Siapa Akan Dipinggirkan Daripada Sertai Kursus TVET – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA, 20 Mei – Tiada sesiapa pun akan dipinggirkan daripada menyertai program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di 1,345 institusi TVET dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Vokasional Negara (MTVET) dalam memberikan jaminan itu berkata setakat ini lebih 30,000 tempat ditawarkan kepada pemohon yang layak menerusi lebih 700 kursus yang
disediakan.
“Kita khuatir kalau ikut trend lama, yang memohon akan berjumlah lebih 100,000 orang, (tapi) saya minta sekretariat (MTVET) untuk pastikan jangan ada seorang pun kecil hati dari segi memperolehi tempat belajar.
“Sistem TVET Walaupun tidak ada sijil akademik sama ada SPM (sijil Pelajaran Malaysia) atau lain-lain, kita akan terima Warganegara Malaysia untuk memasuki mana-mana institusi TVET di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sistem Unit Pengambilan TVET (UPTVET) di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bagi memperkasa bidang TVET dalam negara, kursus yang ditawarkan juga tertumpu kepada kursus TVET bertaraf tinggi seperti dalam bidang kecerdasan buatan, kenderaan elektrik dan robotik.
UPTVET berperanan sebagai saluran tunggal permohonan kemasukan kursus TVET merentasi semua kementerian berkaitan TVET.
Penggunaan saluran tunggal UPTVET yang fleksibel dengan mengambil kira keperluan pelbagai syarat masuk bagi ambilan sesi perdana dan ambilan sepanjang tahun merupakan satu inisiatif untuk membuka ruang seluasnya kepada rakyat Malaysia untuk menyertai program TVET.
Ahmad Zahid berkata UPTVET yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah mula digunakan bagi Ambilan Perdana Januari 2024 yang bermula pada Oktober 2023, manakala bagi Ambilan Julai 2024 pula permohonan telah dibuka pada 25 Mac lepas dan akan ditutup pada ll Jun depan.
Katanya salah satu ciri UPTVET adalah institusi akan menawarkan kursus kepada calon, dan mereka berpeluang untuk mendapat lebih daripada satu tawaran, namun pada akhirnya calon boleh memilih untuk bersetuju untuk menerima satu tawaran sahaja.
Sementara itu Ahmad Zahid dalam kenyataan diedarkan hari ini berkata beliau telah mempengerusikan MTVET Bilangan 2/2024 dengan tiga kertas pertimbangan dan satu kertas makluman berkaitan inisiatif pemerkasaan TVET telah dibincangkan.
la meliputi perbincangan mengenai Sambutan Hari TVET yang akan berlangsung pada 7 dan 8 Jun ini di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Selangor, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim dijangka menyempurnakan majlis peluncurkan Dasar TVET Negara 2030.
“Saya juga telah meneliti pembentangan kedua iaitu cadangan Pemerkasaan Pertandingan Kemahiran Malaysia (Worldskills Malaysia) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“Saya melihat pertandingan ini sebagai medan mencungkil bakat berkemahiran dalam kalangan rakyat Malaysia dan turut berperanan sebagai salah satu medium promosi yang efektif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bidang TVET,” katanya. – BERNAMA