Penstrukturan MAHB: Harap Kerajaan Beri Penjelasan, Elak Kekeliruan Dan Salah Tanggapan

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap agar kerajaan memberikan penjelasan sebaiknya berhubung penyusunan semula Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).

Menurut beliau langkah berkenaan perlu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang akhirnya boleh menimbulkan pelbagai tanggapan dan pelbagai persepsi terhadap kerajaan.

“Kerajaan perlu menjelaskan kedudukan sebenar penyusunan semula MAHB supaya rakyat tidak keliru dan mendapat maklumat yang betul.

“Salah tanggapan dan sebagainya terhadap sebarang langkah penyusunan semula MAHB dapat dielakkan sekaligus masyarakat umum tidak terkeliru,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Sharkar seterusnya menegaskan jika benar penjualan saham sebanyak 30% sebagai salah satu langkah penstrukturan berkenaan, amat wajar ianya ditawarkan juga kepada syarikat tempatan.

“Jika benar ia hendak dijual 30% kerana perlukan suntikan modal, ia perlu juga ditawar kepada syarikat tempatan yang berkemampuan. Ini kerana lapangan terbang merupakan aset strategik negara dan ia adalah pintu masuk ke Malaysia.

“Justeru kita berharap penjelasan sebaiknya dapat diberikan oleh pihak kerajaan berkaitan soal ini untuk kepentingan negara dan rakyat seluruhnya,” ujar beliau.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.