Penerangan UMNO Sabah Rakam Penghargaan Kepada Azalina, Kursus Dianjur Semarak Perjuangan

KOTA KINABALU, 20 Mei – Penerangan UMNO Negeri Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Azalina Othman Said berikutan kejayaan pelaksanaan Kursus Pengukuhan Komunikasi selama tiga hari berakhir semalam.

Ketua Penerangan UMNO Kalabakan, Qamarurijal Saad berkata pelaksanaan program tersebut memberi impak yang sangat bermakna malah diakui oleh lebih 100 peserta penerangan empat peringkat negeri tersebut.

“Terima kasih kepada Penerangan UMNO Pusat yang diketuai oleh Datuk Seri Azalina atas penganjuran Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Negeri Sabah.

“Semoga dengan adanya program ini akan dapat memberikan ilmu serta kemahiran kepada Ketua-ketua Penerangan Negeri, Bahagian dan Sayap untuk bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan diadakan bila-bila masa,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, jentera penerangan UMNO Negeri Sabah akan sentiasa komited dalam melaksanakan usaha menyampaikan maklumat dan membantu parti menolak persepsi negatif.

“Kita akui bahawa tugas penerangan bukanlah kerja sehari dua tetapi ia dilaksana berterusan membabitkan pelbagai pendekatan.

“Kita juga sepakat dengan hasrat Datuk Seri Azalina yang mahukan parti bergerak seiring komunikasi semasa, aktif dalam media dan sama-sama menolak persepsi negatif,” katanya lagi.

Terdahulu, Azalina dalam ucapannya ketika majlis perasmian menegaskan bahawa anggota penerangan parti adalah jentera yang perlu mewujudkan pendekatan-pendekatan lebih sistematik malah harus menolak kempen kebencian yang begitu hebat ada dalam media sosial.

Dilaporkan, Kursus Pengukuhan Komunikasi anjuran Penerangan UMNO Malaysia selama tiga hari itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan melibatkan jentera penerangan bahagian empat peringkat negeri berkenaan.

Kursus tersebut adalah antara siri program yang dilaksanakan Penerangan UMNO Malaysia dan akan diikuti oleh program jelajah penerangan selain kursus lanjutan aplikasi daripada pengaktifan gerak kerja semua peringkat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.