Parti Koc Persendirian: KTMB Perlu Beri Penjelasan – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu memberikan penjelasan berhubung isu yang tular di media sosial berkaitan ‘Parti Pinkesh’ yang diadakan di dalam tren milik mereka.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata tindakan membenarkan perkara berkenaan sangat tidak selari dengan Malaysia yang terkenal dengan budaya sopan dan ketimuran ini.

“Kali ini tular di seluruh media sosial yang mana telah diadakan parti persendirian di dalam koc KTMB dan ini merupakan kali pertama parti tren seperti ini diadakan di Asia Tenggara.

“Sekalipun KTMB memang sudah membenarkan penyewaan koc-koc KTMB untuk tujuan peribadi, tetapi KTMB perlulah meletakkan syarat-syarat yang ketat demi tidak mencemarkan imej dan nama KTMB sendiri,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi pelbagai perkara yang tular memerlukan penjelasan lanjut supaya isu berkenaan tidak menjejaskan nama baik negara dan masyarakat.

“Itu belum lagi apabila kecoh dikatakan surau juga antara lokasi parti tersebut. Ini sudah melampau… tempat yang sepatutnya suci dan bersih dibenarkan untuk pengunaan kasut, “parti games” dan arak.

“Seterusnya, yang sangat mengecewakan lagi ialah apabila nama sahaja Kereta Api Tanah Melayu, tapi membenarkan parti liar yang penuh dengan arak dan perkara perkara yang tidak senonoh. Apakah mesej yang KTMB cuba sampaikan kepada rakyat? Bahawa kami sudah tidak Melayu?

“Apatah lagi tindakan membenarkan ini sangat-sangat tidak selari dengan Malaysia yang terkenal dengan budaya sopan dan ketimuran ini. Kita ialah sebuah negara Islam yang majoritinya orang Melayu. Tolong hormat budaya dan adat resam kita,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, KTMB perlu tampil memberi penjelasan bagaimana mereka boleh terlepas dalam perkara sedemikian dan diharapkan perkara tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.