Optimumkan Media Sosial Sebar Aspirasi Parti, Kerajaan Perpaduan Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Akar umbi perlu mengoptimumkan penggunaan media sosial bagi menyebarkan aspirasi parti dan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Menurut beliau, ia penting kerana dilihat sebagai medium terbaik dalam mendekati rakyat yang rata-ratanya mempunyai akaun media sosial.

“Saya tengok media sosial bukan tak dimainkan tetapi bukan kepada memperkukuhkan UMNO itu sendiri.

“Media sosial banyak cerita hal masing-masing sedangkan kita nampak mereka ini pandai bermedia sosial. Sebagai kapasiti Majlis Kerja Tertinggi saya harap supaya di peringkat akar umbi mesti memainkan peranan yang penting mesti bekerja kuat.

“Saya beritahu di mana-mana… ceramahlah banyak mana pun buatlah program banyak mana pun peringkat-peringkat negara tetapi kalau akar umbi kita khususnya ketua bahagianlah yang tertanggungjawab kepada perkara ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Lipis dalam pada itu berpandangan kekuatan di setiap bahagian memainkan peranan kepada sokongan rakyat terhadap parti.

Menurut Abdul Rahman ini kerana ia mempengaruhi gerak kerja sesuatu kawasan.

“Sebab itu saya kata kepimpinan ini mesti daripada atas turun ke bawah dan seterusnya bawah mesti menyahut kembalikan apa yang disarankan

“Kerana kalau atasan saja yang bercakap, tak mungkin kawasan kita menjadi bertambah kukuh. Sebab itu sering saya beritahu kekuatan mesti di kawasan kita sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.