GiatMARA: Semua Program Kemahiran Bakal Dikaji Semula, Lahir Bumiputera Mahir Teknologi Terkini

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Demi melahirkan bumiputera yang mahir teknologi terkini, semua program kemahiran di GiatMARA akan dikaji semula.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan perkara berkenaan menerusi hantaran di laman Facebooknya dan mendapat maklum balas positif daripada rata-rata pelayar media sosial.

“Apa yang terlintas dalam fikiran anda bila sebut GiatMARA? Ya GiatMARA ada di semua Parlimen. Insya-Allah, semua program kemahirannya akan dikaji agar lahir bumiputera yang mahir dalam teknologi terkini,” katanya.

Seorang pelayar media sosial dikenali sebagai Makhtar Salleh berpendapat bahawa GiatMARA telah memberi manfaat kepada anak-anak muda dan wajar dinaiktarafkan.

“GiatMARA telah memberi manfaat kepada ramai anak muda. Wajar dinaik taraf menjadi pusat pendidikan dan latihan. Mereka yang tamat latihan wajar dibantu untuk memulakan perniagaan dlm bidang dipelajari,” katanya.

Selain itu, salah seorang pengguna media sosial yang dikenali sebagai Siti Ramlah mengakui bahawa beliau merupakan alumni GiatMARA dan dapat belajar banyak perkara baharu ketika melanjutkan pengajian di institusi bawah kendalian MARA itu.

“Alhamdulillah belajar kemahiran untuk generasi muda. Saya pun bekas pelajar GiatMARA sesi 2001… dapat ilmu dan pengalaman baru, belajar sesuatu yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan bahawa MARA bakal fokus membantu usahawan Bumiputera kecil dan sederhana yang mahu mengembangkan dan membesarkan bengkel kenderaan serta motor.

“MARA akan fokus bantu usahawan Bumiputera kecil dan sederhana yang mahu kembang dan besarkan bengkel kenderaan serta motor. Tawaran program latihan dan pembiayaan bermula RM150,000 sehingga RM200,000,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.