Gunakan Mesyuarat Cawangan Perkukuh Parti, Jangan Tembak Kawan Sendiri

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Mesyuarat Cawangan UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini perlu diaplikasi sebagai ruang pengukuhan dan bukannya untuk menembak kaki kawan sendiri termasuk Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pengerang, Mohd Halipi Ma’asip berikutan terdapat usul agar rombakan bagi jawatan yang disandang oleh Azalina, ketika ini dengan dakwaan tidak fokus dalam tugasan beliau.

Bidas Mohd Halipi, dakwaan tersebut tidak benar kerana Azalina telah melaksana gerak kerja jelajah dan pemukiman pelbagai peringkat selain menyalurkan agenda dan naratif untuk dilaksanakan disemua bahagian.

“Mesyuarat Cawangan perlu diangkat sebagai ruang pengukuhan apatah lagi selepas setahun pemilihan parti dan sekarang ruang bekerja yang dilaksana oleh semua pemimpin termasuklah Azalina yang juga Menteri Undang-undang Reformasi dan Institusi.

“Sewajarnya mana-mana pihak yang nak memberi usul cermin diri dahulu dengan melaksanakan pengukuhan di peringkat bahagiannya sebelum memberikan pandangan yang hanya akan mengeruhkan keadaan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau lagi, sebagaimana yang dimaklumkan, Azalina telah melaksanakan Kursus Pengukuhan Komunikasi yang melibatkan semua peringkat di seluruh negara termasuk aplikasi media sosial serta media baharu.

“Difahamkan kursus tersebut juga telah dilaksana di peringkat Negeri Sabah serta siri lanjutan akan dilaksanakan.

“Sebagai jentera dalam penerangan parti, tentunya saya amat memahami dan mengetahui pelaksanaan yang dilakukan oleh pemimpin atasan lantaran ada gerak kerja atau tugasan yang disalurkan sebagai usaha terus memperkukuh UMNO.

“Sepatutnya sekarang ini sama-sama kita berusaha dan bukan dengan memberikan kenyataan negatif atau usul yang hanya akan nampak melemahkan UMNO apatah lagi Azalina adalah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga menteri yang banyak menyumbang untuk kedaulatan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.