Malaysia Antara Negara Paling Aman, Namun Jangan Ambil Mudah – Ahmad Zahid

JERANTUT, 18 Mei – Insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi semalam sehingga mengorbankan dua anggota polis tidak boleh diambil mudah walaupun negara berada dalam keadaan aman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sehubungan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu berusaha keras menghalang kejadian mengejutkan itu daripada berulang.

Bagaimanapun katanya beliau yakin Malaysia adalah antara negara paling aman dari unsur keganasan berdasarkan indeks keamanan.

“Malaysia adalah negara contoh, dasar deradikalisasi Malaysia telah diterima di dunia. (Jadi) Saya rasakan tak sepatutnya negara kita hadapi permasalahan dari segi keganasan….

“Negara kita harus bebas dari keganasan, kita harus jamin keharmonian pelbagai kaum, pelbagai agama. Apa berlaku di Ulu Tiram, tindakan pantas polis amat dialu-alukan dan kita mahu hapuskan 100 peratus pengaruh terrorism atau keganasan di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Felcra Japutra Sdn Bhd  – Cenergi SEA Berhad (Cenergi) di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.