Jangan Main Politik… Rakyat Sabah Perlukan Pembelaan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 18 Mei – Mana-mana wakil rakyat perlu memahami tanggungjawab dan melaksanakan amanah yang telah dimandatkan oleh rakyat dan jangan bermain politik.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berikutan ramai rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar yang masih tidak terbela.

Dalam hal ini beliau menggesa mana-mana pihak yang mendukung Kerajaan Perpaduan memahami aspirasi yang tersirat dengan menjunjung semangat kerjasama yang sentiasa diaplikasi termasuk oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Kerajaan Perpaduan adalah merupakan satu kerajaan yang menggabungkan wakil dari pelbagai politik menuntut parti dan semua pemimpin untuk mengenepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.

“Inti pati perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan adalah menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada Persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963, Laporan IGC dan Suratcara dilampir padanya di dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan-Perlembagaan Sarawak dan Sabah,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian berikutan ada pihak yang masih mempertikai berkaitan Kerajaan Perpaduan biarpun pilihan raya umum telah berlalu dan lebih setahun Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Ini termasuklah tindakan Ahmad Zahid berhubung penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah baru-baru ini.

“Sepatutnya kita mengalu-alu lantikan jawatan JKDM cetusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana manfaatnya amat besar untuk rakyat Sabah yang cukup jauh ketinggalan dari segi infrastruktur asas.”

Bidas Sharif Musa, jika sekalipun ada pihak yang tidak bersetuju maka lebih baik diam daripada mempertikai hal yang berkaitan kepentingan rakyat.

“Lebih baik berdiam jika tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat di luar bandar Sabah yang cukup daif dari aspek keperluan asas, air, eletrik dan jalan.

“Semoga dengan adanya JKDM ini dapat membantu meringankan penderitaan rakyat Sabah khususnya kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada bajet sebanyak RM1 bilion untuk Komuniti Desa Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hasrat ini telah menunaikan maksud inti pati perjanjian persefahaman dan maksud Kerajaan Perpaduan itu,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.