Bung Moktar Gesa Perkasa Komunikasi UMNO Sabah, Semarakkan Perjuangan Demi Masa Depan

KOTA KINABALU, 18 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa anggota parti untuk memperkasakan komunikasi dalam UMNO bagi memastikan maklumat, mesej dan segala isu yang timbul dapat disampaikan dengan jelas.

Katanya, pelbagai isu tempatan yang berlaku dalam lingkaran masyarakat perlukan pembelaan dan UMNO mempunyai jentera namun perlu memahami dan mengetahui pendekatan bagi memastikan pembelaan rakyat dapat dilakukan.

“UMNO mempunyai struktur organisasi yang jelas, ada ahli-ahli dan jentera di semua peringkat namun perlu ada perancangan-perancangan agar segala yang dilakukan dapat dilaksana dengan baik khususnya dalam hasrat untuk mengeluarkan lapan daerah termiskin di Malaysia dari Sabah.

“Saya yakin bahawa dengan asas pengukuhan penerangan UMNO, yang melibatkan jentera penerangan di 25 bahagian meliputi lebih 5,000 cawangan di seluruh negeri, ada empat peringkat termasuk wanita, pemuda dan puteri maka jentera penerangan berkesan boleh diaplikasi,” katanya.

Ujar beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, rakyat Sabah perlukan pembelaan lantaran pelbagai masalah dan kesulitan yang berlaku.

“Sabah apa ada… air tidak ada, isu elektrik, Pan Borneo ‘gantung-gantung’, peluang pekerjaan tidak ada, ini pun susah mahu bayang.

“Sekarang rebut peluang untuk berubah agar Sabah tidak terus mundur, miskin dan ketinggalan. Jika tidak maka anak-anak Negeri Sabah akan terus terusan berhijjrah ke luar termasuk ke Semenanjung kerana mahu pekerjaan.

“Maka kerana itu inilah peluang untuk kita rebut kembali dengan perkuatkan UMNO. Kita perlu bekerja keras … sama ada kita bangkit melawan atau kita akan ditindas, sama ada kita biarkan kelemahan itu berlarutan atau meneruskan perjuangan. Kita bertekad untuk menangkan UMNO Sabah bagi membela rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dihadapan lebih 100 peserta bagi perasmian Kursus Pengukuhan Komunikasi UMNO Peringkat Negeri Sabah, semalam.

Kursus tersebut turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi.

Bung Moktar juga menjelaskan bahawa wujud gerakan gelombang sokongan rakyat kepada UMNO.

“Saya sudah melaksanakan jelajah ke seluruh Negeri Sabah dengan pelbagai program. Tiap program sambutan dari rakyat amat luar biasa termasuklah majlis sambutan Aidilfitri.

“Apabila adanya sambutan ini bermakna orang kampung senang dengan orang UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kita perlu ambil mesej yang dilontar oleh masyarakat maknanya, ‘we are with you, do something with us’.

“Jadi kita lakukan melalui jentera yang ada kerana ini adalah masa tepat untuk UMNO bangkit kembali. Tidak ada peluang lain lagi,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Bendahari UMNO Negeri merangkap ADUN Usukan, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir; Ketua Wanita UMNO Negeri Sabah, Senator Datuk Noraini Idris, Ketua Pemuda negeri, Sufian Abd Karim dan Ketua Puteri, Ummi Nabila Jamal. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.