Wujudkan Pendekatan Lebih Sistematik, Aktif Tolak Kempen Kebencian – Azalina

KOTA KINABALU, 17 Mei – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa anggota penerangan parti adalah jentera yang perlu mewujudkan pendekatan-pendekatan lebih sistematik.

Ini kerana katanya, kempen kebencian yang begitu hebat ada dalam media sosial telah membunuh hasil kerja baik yang selama ini telah dilaksanakan kerajaan lalu.

“Kita nak bercakap tentang propaganda alaf baharu. Pada hari ini seluruh negara di dunia telah berhadapan dengan isu-isu dalam media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram, WeChat yang kesemuanya adalah platform yang digunakan dalam kempen politik.

“Rakyat boleh membuat pilihan dengan begitu cepat kerana kempennya adalah dari objek yang bernama teknologi dan ada di tangan setiap masa, justeru hal ini perlu diambil kira,” katanya.

Namun demikian katanya, di dalam media sosial ada lebih banyak hal berkaitan kebencian maka jentera penerangan perlu bergerak aktif dan memainkan peranan.

“Dalam hal ini teknologi mengambil tempat maka jentera penerangan perlu sentiasa bersedia dan mempunyai kefahaman berkaitan senjata alaf baharu dalam era kini.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlaku sebelum ini, gerakan begitu hebat dengan jaringan media sosial dan menggunakan kempen-kempen yang begitu negatif hinggakan membunuh calon-calon yang berada dalam parti kita.

“Kerana itulah maka strategi perlu diatur termasuk memahami jaringan yang ada lantas dengan usaha berkenaan bukanlah satu perkara yang mustahil untuk sama-sama juga bergerak khususnya menguasai media sosial,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata demikian dalam ucapan sempena program Kursus Pengukuhan Komunikasi UMNO Peringkat Negeri Sabah, hari ini.

Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan kehadiran lebih 100 peserta terdiri daripada jentera penerangan bahagian empat peringkat negeri berkenaan.

Turut hadir Setiausaha UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Bendahari UMNO Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak; Ketua Penerangan UMNO Sabah yang juga Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir; Ketua Wanita UMNO Negeri Sabah, Senator Datuk Noraini Idris, Ketua Pemuda negeri, Sufian Abd Karim dan Ketua Puteri, Ummi Nabila Jamal.

Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Sabah ini diadakan selama tiga hari bermula hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.