UniKL MIAT Buka Peluang Kepada Anak Bumiputera Dalam Industri Teknikal Penerbangan

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) membuka peluang kepada anak Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu baik pulih dan penyelenggaraan pesawat penerbangan.

Dr Asyraf dalam satu perkongsian di Channel WhatsAppnya, telah berkunjung ke UniKL MIAT Kampus Subang, Selangor pada petang Khamis bagi meninjau suasana pembelajaran pelajar dan fasiliti-fasiliti yang ada di kampus itu.

“Teruja saya kelengkapan teknologi yang ada di MIAT Subang ini bagi memberikan pendedahan kepada para pelatih MIAT berkenaan ‘real industry’ dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kapal penerbangan (MRO).

“Lebih membanggakan UniKL MIAT merupakan kampus yang pertama di Malaysia yang memperkenalkan ‘Teaching Factory’ pada tahun 2013 ketika High TVET (HTVET) sedang dirangka yang kini fokus kepada ‘Aviation dan Aircraft Maintanance Technology’,” ujar Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO.

Jelas Dr Asyraf, UniKL MIAT mengadakan kerjasama bersama syarikat-syarikat MRO seperti MHS Aviation, Galaxy Aerospace dan Hammock Helicopters yang beroperasi di hangar UniKL MIAT.

“Syarikat-syarikat ini memberi pendedahan para staf dan pelajar UniKL bagi memanfaatkan fasiliti dan teknologi mereka dalam bidang MRO sebagai perantis mengendalikan helikopter dan kapal berteknologi tinggi yang bernilai lebih ratusan juta.

“UniKL MIAT juga menekankan pembelajaran melalui konsep ‘Industry Based Education Training’ (IBET) usaha sama dengan rakan-rakan industri dalam dan luar negara seperti Turkish Aerospace Incorporation (TUSAS) yang seterusnya memberi peluang pelajar-pelajar lepasan UniKL MIAT untuk bekerja di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Justeru, Dr Asyraf berharap agar UniKL MIAT terus menjadi kampus yang beri ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar untuk mendalami ilmu berteknologi tinggi dalam bidang penerbangan seterusnya memberikan peluang pekerjaan bergaji premium buat para graduan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.