Jangan Gagalkan Harapan Rakyat, Projek Luar Bandar Mesti Diteruskan – Suraya

PENDANG, 28 Okt – Pembangunan luar bandar perlu dilaksanakan secara terancang, konsisten dan berterusan bagi memastikan rakyat menikmati manfaat sebenar, bukannya sekadar melihat projek diumumkan dan peruntukan diluluskan tanpa pelaksanaan yang sewajarnya.

Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob, menegaskan bahawa setiap projek pembangunan yang dirancang untuk masyarakat perlu diberikan perhatian serius, khususnya apabila melibatkan keperluan rakyat yang sekian lama menantikan perubahan di kawasan masing-masing.

“Jangan sampai projek sudah diluluskan, peruntukan sudah tersedia, tetapi akhirnya rakyat juga yang terpaksa menunggu. Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Parlimen pada Isnin berhubung projek tahun 2026 yang diarahkan untuk dibatalkan kerana ketiadaan penyaluran dana, walaupun peruntukan telah tersedia.

Suraya berpandangan, perkara tersebut perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana pelaksanaan projek pembangunan mempunyai kaitan langsung dengan keperluan dan kepentingan masyarakat, terutama penduduk luar bandar yang memerlukan kemudahan serta infrastruktur lebih baik.

“Persoalannya, bagaimana projek yang telah diluluskan dan mempunyai peruntukan boleh dibatalkan? Kita perlu melihat perkara ini dari sudut kepentingan rakyat kerana di sebalik setiap projek, ada keperluan masyarakat yang perlu dipenuhi,” tegas beliau.

Tambahnya, penyelarasan yang berkesan antara kelulusan projek, penyaluran dana dan pelaksanaan di lapangan amat penting bagi mengelakkan perancangan pembangunan terbantut sehingga menjejaskan rakyat yang sepatutnya menerima manfaat.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan luar bandar bukan sekadar usaha memajukan sesebuah kawasan, tetapi merupakan tanggungjawab untuk memastikan masyarakat mendapat peluang menikmati kemudahan, perkhidmatan dan kualiti hidup yang lebih baik.

“Pembangunan bukan sekadar angka dalam laporan atau pengumuman di atas kertas. Ukuran sebenar kejayaan ialah apabila rakyat dapat merasai sendiri perubahan yang dibawa, sama ada melalui kemudahan yang lebih baik, prasarana yang sempurna mahupun kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Terdahulu, Suraya yang juga Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir di PDM Pulai sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan.

“Sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang terkesan, khususnya dalam memenuhi keperluan harian ketika mereka berhadapan dengan kesukaran susulan banjir.

“Kebajikan rakyat perlu sentiasa diberikan perhatian, lebih-lebih lagi ketika masyarakat berdepan musibah yang menjejaskan kehidupan, kediaman dan sumber pendapatan mereka.

“Walaupun sumbangan ini mungkin tidak dapat menyelesaikan semua kesulitan yang dihadapi, kita berharap ia dapat meringankan beban mereka dan memberikan semangat untuk terus tabah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha mendekati rakyat tidak seharusnya terbatas kepada waktu tertentu, sebaliknya perlu diteruskan melalui tindakan yang mengambil kira keperluan sebenar masyarakat, sama ada menerusi pembangunan jangka panjang mahupun bantuan ketika berlakunya bencana.

“Rakyat tidak hanya memerlukan janji pembangunan, tetapi pelaksanaan yang membawa perubahan. Mereka juga tidak boleh dibiarkan menghadapi kesusahan bersendirian apabila ditimpa musibah. Inilah pentingnya keprihatinan, tanggungjawab dan khidmat yang berterusan kepada masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO