UMNO/BN Melaka Buka Pintu, Sedia Terima Ahli PKR Sertai Perjuangan
MASJID TANAH, 28 Okt – UMNO terbuka menerima penyertaan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu bersama UMNO/Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, kesediaan mereka untuk kembali bersama UMNO/BN merupakan perkembangan yang amat dihargai.
Terdahulu, seramai 104 ahli PKR dari Tanjung Bidara mengambil keputusan menyertai UMNO, sekali gus menyatakan sokongan terhadap perjuangan parti itu dan BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

“Saya amat terharu dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka untuk kembali bersama UMNO/BN dalam Parlimen Masjid Tanah,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Masjid Tanah, pada Selasa.
Ujarnya, UMNO mengambil pendekatan terbuka untuk menerima penyertaan berkenaan kerana percaya perjuangan parti dan gabungan itu merupakan satu perjuangan yang jelas serta wajar diberikan sokongan.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh komitmen calon-calon yang telah dinamakan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
“Komitmen yang ditunjukkan calon-calon berkenaan amat baik dan mereka perlu bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan BN,” katanya.

Mengulas rundingan dengan MCA, beliau berkata perkembangan positif telah dicapai dalam usaha menyelesaikan kebuntuan yang timbul sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk mengumumkan hasil rundingan berkenaan selepas perbincangan yang diadakan pada malam sebelumnya.
Mengulas kenyataan bahawa pertemuan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih belum menunjukkan perkembangan positif, beliau berkata perbincangan tersebut dilihat positif dari sudut pandangannya.
“Bagi saya, positiflah perbincangan itu, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata keputusan lanjut berhubung perkara berkenaan akan ditentukan pada peringkat kepimpinan tertinggi dan meminta semua pihak menunggu perkembangan seterusnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan 31 Oktober pada manakala tarikh mengundi awal pada 10 November.
Tempoh berkempen pula adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 13 November.
Pada 22 September lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 dimenangi BN pada PRN lalu, manakala lima dimenangi PH dan dua Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online
