Malaysia-Kyrgyz Sokong Aktif Pertukaran Pengalaman Pendidikan – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Malaysia dan Kyrgyz akan menyokong secara aktif pertukaran pengalaman pendidikan termasuklah program pertukaran pelajar, program bersama bagi sarjana dan doktor falsafah, lawatan akademik serta projek-projek penyelidikan secara kolaboratif.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan Sains Kyrgyz, PYT Dogdurkul Kendirbaeva ketika menyertai delegasi Malaysia ke sana, tempoh hari.

“Pendidikan di Republik Kyrgyz boleh dikatakan dalam proses perkembangan dan pembangunan sama ada di peringkat pendidikan rendah mahupun pendidikan tinggi. Terdapat lebih 54 Institut Pendidikan Tinggi di Kyrgyz yang terdiri daripada 33 Institusi Awam dan 21 Institusi Swasta.

“Ketika di Kyrgyz, saya mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan Sains Kyrgyz, PYT Dogdurkul Kendirbaeva. Ini pertemuan pertama kami dan banyak perkara dibincangkan terutamanya perihal Kyrgyz yang sangat mengharapkan jika Malaysia dapat membantu untuk meningkatkan lagi keupayaan tahap pendidikan tinggi mereka dari segi kurikulum serta juga pengurusan.

“Kerajaan Kyrgyzstan memang berhasrat untuk menghantar lebih banyak pelajar ke Malaysia untuk mengambil kursus yang pelbagai bagi membantu melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dan berimpak tinggi. Perbincangan juga melibatkan cadangan penetapan kos pembelajaran yang berpatutan di samping memastikan kemudahan pelajaran serta kondisi yang baik,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebooknya.

Menurutnya, sudah pasti lebih banyak peluang yang boleh diterokai oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta dalam negara yang ingin berkolaborasi bersama Kyrgyz.

“Kerajaan Kyrgyzstan juga memuji pendidikan agama Islam di Malaysia yang bersifat moderat dan mereka turut ingin menggalakkan lebih banyak pertukaran penyelidikan yang boleh dilakukan antara kedua-dua negara dalam masing bekerjasama dari segi kebolehan dan kepentingan yang masing-masing miliki.

“Pastinya banyak peluang boleh diterokai oleh IPTA dan IPTS dalam negara serta Pusat Penyelidikan yang ingin berkolaborasi dengan Kyrgyz. Ini juga selari dengan kenyataan bersama Perdana Menteri dan Presiden Kyrgyz iaitu kedua-dua negara akan menyokong secara aktif pertukaran pengalaman pendidikan termasuk program pertukaran pelajar, program bersama bagi sarjana dan doktor falsafah, lawatan akademik serta projek-projek penyelidikan secara kolaboratif.

“Ini sekaligus akan menyumbang kepada pengayaan pelbagai aspek amalan pendidikan dan menyokong pembangunan institusi pendidikan khas tinggi serta menengah di kedua-dua negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.