Kerajaan Negeri Johor Peruntuk RM50 Juta, Sasar Bina 500 Unit RKJ Sehingga 2026

ISKANDAR PUTERI, 17 Mei – Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi pembinaan projek perumahan di bawah program Rumah Kasih Johor (RKJ) dan sasaran membina sebanyak 500 unit rumah sehingga 2026.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, program tersebut memberi fokus untuk membina rumah secara percuma kepada rakyat.

 

“Kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor amat komited dalam memastikan setiap lapisan Bangsa Johor ini mempunyai aksesibiliti kepada pemilikan rumah terutamanya golongan miskin dan miskin tegar yang dikategorikan di bawah e-kasih. Untuk itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pembangunan RKJ yang memberi fokus untuk membina rumah secara percuma.

“Pembangunan RKJ bagi tahun 2023 melibatkan 50 unit buah rumah telahpun berjaya diserahkan kepada para peserta pada bulan Mac iaitu Ramadan yang lalu melibatkan peruntukan berjumlah RM6.5 juta.

“Selain itu, di dalam ucapan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2024 oleh Menteri Besar Johor, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM17 juta bagi pembinaan 120 unit rumah di bawah Program RKJ. Sasaran sehingga tahun 2026, sebanyak 500 unit rumah RKJ akan dibina kepada golongan sasaran miskin dan miskin tegar di seluruh Negeri Johor dengan anggaran peruntukan keseluruhan berjumlah RM50 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, petang Khamis.

Menurutnya, terdapat beberapa penambahbaikan telah dilakukan bagi mengoptimumkan penggunaan pembangunan RKJ agar manfaatnya dirasai secara meluas.

“Beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan bagi mengoptimumkan lagi penggunaan peruntukan pembangunan RKJ agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai penerima, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) telah meneliti semula rekabentuk, spesifikisi dan kos pembangunan RKJ.

“Kita juga turut mengambil pandangan wakil-wakil rakyat tempatan yang cakna terhadap keperluan rakyat setempat terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Medan dengan mencadangkan penambahbaikan bagi RKJ di fasa seterusnya,” kata ADUN Bukit Permai itu lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga telah melonggarkan syarat agar golongan sasar mendapat bantuan tersebut.

“Bagi memastikan peserta RKJ ditawarkan berdasarkan kepada keperluan jenis rumah yang mengikut saiz isi rumah, PKPJ telah pun melaksanakan lawatan tapak dan menemu ramah calon peserta terlebih dahulu sebelum dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Rumah Kasih Johor bagi menentukan jenis rumah yang ideal kepada calon peserta.

“Selain itu, kerajaan negeri juga turut telah melonggarkan syarat bagi memastikan golongan sasar (e-kasih) yang tidak memiliki tanah di mana pemohon hanya perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari pemilik tanah yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat bagi membolehkan rumah secara percuma ini dibina oleh kerajaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.