JKDM Beri Manfaat Kepada Rakyat Sabah, Utamakan Infrastruktur Asas

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyambut baik hasrat Kerajaan Perpaduan untuk menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di negeri Sabah.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa tersebut akan memberikan manfaat kepada rakyat Sabah khususnya untuk kemudahan infrastruktur.

Perkongsian menerusi Facebook tersebut sebagai respon beliau kepada kenyataan beberapa pihak yang mempersoal pelantikan jawatankuasa tersebut.

“Rakyat Sabah meminta Joniston banyak berdiam diri, daripada mempertikaikan bantuan Kerajaan Pusat kepada masyarakat luar bandar melalui jawatan JKDM.

“Seharusnya Joniston selaku Yang Berhormat mengalu-alu lantikan jawatan JKDM cetusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana manfaatnya amat besar untuk rakyat Sabah yang cukup jauh ketinggalan dari segi infrastruktur asas,” katanya.

Sharif dalam pada itu sama mengingatkan inti pati perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan dalam menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada Persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Menurut beliau ia selari dalam memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963, Laporan IGC dan Suratcara dilampir padanya di dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan-Perlembagaan Sarawak dan Sabah.

“Kerajaan Perpaduan adalah merupakan satu kerajaan yang menggabungkan wakil dari pelbagai politik menuntut parti dan semua pemimpin untuk mengenepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.

“Bajet sebanyak RM1 bilion untuk Komuniti Desa Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunaikan maksud inti pati perjanjian persefahaman dan maksud Kerajaan Perpaduan itu.

“Sekali lagi rakyat Sabah menasihatkan Joniston lebih baik berdiam, jika tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat di luar bandar Sabah yang cukup daif dari aspek keperluan asas, air, eletrik dan jalan.

“Semoga dengan adanya JKDM ini dapat membantu meringankan penderitaan rakyat Sabah khususnya kawasan luar bandar,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.