Tidak Ada Istilah JPKK BN Atau PH, Kita Berkhidmat Untuk Semua – Jalaluddin

PORT DICKSON, 16 Mei – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memainkan peranan yang cukup penting di peringkat pentadbiran masing-masing dalam usaha memastikan masyarakat setempat mendapat khidmat sewajarnya.

Menurut beliau peranan mereka cukup besar dan JPKK hari ini yang merupakan antara gabungan JPKK Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu berkhidmat sebaiknya kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang politik dan sebagainya.

“Sering kali saya sebutkan sebelum ini, peranan JPKK dalam kerajaan pada hari ini bukanlah satu peranan yang kecil. JPKK yang ada pada hari ini adalah gabungan antara JPKK BN dan juga PH. Negeri Sembilan merupakan negeri yang ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan BN dan PH yang paling cemerlang prestasinya.

“Saya berharap kerukunan dan kata sepakat yang berjaya dicapai kepimpinan di peringkat negeri dapat diterjemahkan juga oleh JPKK di kawasan masing-masing. Apabila kita telah dilantik sama ada sebagai Pengerusi atau Setiausaha, tidak ada istilah JPKK BN atau JPKK PH.

“Yang ada ialah JPKK yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Sembilan. Saya mahukan semua Pengerusi dan Setiausaha JPKK yang ada dapat memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat tanpa mengambil kira latar belakang parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kepimpinan Mydesa Dan Program Mobile Learning-Hands On Pengurusan Desa JPKK Negeri Sembilan 2024, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya melihat langkah Institut Kemajuan Desa (INFRA) melaksanakan kursus kepada JPKK di negeri itu hari ini adalah satu langkah yang terbaik dalam usaha memastikan pendedahan dan sebagainya lagi kepada JPKK.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak INFRA atas inisiatif yang cukup baik untuk memberikan latihan kepada JPKK Negeri Sembilan ini. Latihan seperti ini sangat baik dalam memberikan pendedahan dan pengalaman yang baik kepada JPKK dalam melancarkan pengurusan JPKK di kampung masing-masing.

“Secara keseluruhannya, kita ada 434 buah JPKK di seluruh Negeri Sembilan, termasuklah 40 JPKK Kampung baru. Bukan semua Pengerusi dan JPKK yang dilantik tempoh hari, adalah orang lama dan berpengalaman, ramai juga orang baru yang dilantik, sebab itu kursus seperti ini sangat penting untuk mereka.

“Sebab itu saya berharap, pihak INFRA dapat memberikan kursus dan latihan kepada kesemua 868 orang Pengerusi dan Setiausaha JPKK yang ada di Negeri Sembilan ini,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.