Tiada Perbincangan UiTM Dibuka Kepada Bukan Bumiputera – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan sekali lagi bahawa isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahupun peringkat Kabinet.

Jelas Dr Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), seperti kenyataan beliau pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini.

“Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Manakala UiTM dalam satu kenyataan medianya juga menegaskan perkara yang sama.

Naib Canselor dan Pengerusi Senat UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata dasar pengambilan sedia ada adalah kekal dan tiada perbincangan di Senat UiTM mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti tentang hal demikian.

“Saya menyeru kepada semua mahasiswa untuk menumpukan usaha menunaikan amanah sebagai pelajar, gunakan masa yang sangat berharga untuk belajar, timbalah ilmu sebanyak mungkin untuk bekal masa depan yang tidak menentu. Inilah perjuangan seorang mahasiswa,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.