Lawatan Malaysia Ke Kyrgyz Buka Lembaran Baharu, Bentuk Kerjasama Pelbagai Sektor

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Lawatan Malaysia ke Kyrgyz berjaya membuka lembaran baharu dalam membentuk kerjasama pelbagai sektor di rantau ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, lawatan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan susulan kunjungan hormat Menteri Luar Republik Kyrgyz, Tuan Yang Terutama (TYT) Zheenbek Kulubaev ke negara ini pada awal April lalu.

“Selesai lawatan kerja di Qatar, kami delegasi Malaysia mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Kyrgyz untuk lawatan rasmi dua hari.

“Ini merupakan kunjungan kedua bagi Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh 28 tahun selepas kali terakhir pada 1996. Lawatan ini juga merupakan susulan daripada kunjungan hormat Menteri Luar Republik Kyrgyz tempoh hari ke Malaysia.

“Perdana Menteri diberi sambutan negara oleh Presiden Republic Kyrgyz, TYT Sadry Zhaparov di Kediaman Negeri Ala Archa. Sejurus itu, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kyrgyz,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Turut menyertai delegasi Malaysia ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, pelbagai kerjasama baharu telah dibincangkan meliputi ekonomi, industri pendidikan, pelancongan, kebudayaan dan sebagainya.

“Pelbagai kerjasama baharu turut dibincang dalam lawatan kali ini antaranya ialah menerokai bidang berpotensi seperti ekonomi, industri halal, pendidikan, pelancongan, budaya, kerjasama antara parlimen, ekonomi digital, tenaga, ketersambungan dan perlombongan.

“Pastinya lawatan ke negara pertama Asia Tengah ini membuka lembaran baru Malaysia dalam membentuk kerjasama pelbagai sektor di rantau ini,” katanya.

Pada Rabu media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Republik Kyrgyz untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Ketibaan delegasi Malaysia disambut oleh Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov dan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Ilham Tuah Illias.

Republik Kyrgyz adalah negara pertama dikunjungi dalam kerangka lawatan Perdana Menteri ke Asia Tengah yang turut meliputi Kazakhstan dan Uzbekistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.