UKM Qatar: KPT Sokong Apa Jua Pelan IPT, Termasuk Agenda Perkasa Pengantarabangsaan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong apa jua pelan yang dilakukan oleh institut pengajian tinggi (IPT) termasuklah agenda pemerkasaan pengantarabangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melalui hantaran di laman Facebooknya menzahirkan rasa syukur kerana Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha, Qatar telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah. Rasmi sudah Kampus UKM di Doha, Qatar yang telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terlakar satu sejarah apabila dapat melihat megahnya bangunan kampus dengan nama universiti di Malaysia dan ini sekaligus membuktikan bahawa dunia pendidikan tinggi negara semakin mengorak langkah di peringkat antarabangsa.

“Tahniah kepada UKM dan semua yang bertungkus lumus dari awal termasuk Mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin. Terima kasih juga kepada Kerajaan Qatar atas kerjasama ini,” katanya.

Menurutnya, kewujudan kampus luar ini mampu untuk menarik lebih ramai pelajar di Qatar dan sekitar untuk belajar dan memperoleh ijazah di bawah UKM.

“Dengan adanya kampus luar ini dapat menarik lebih ramai pelajar di Qatar dan sekitarnya untuk belajar dan berijazah di bawah UKM. Saya percaya langkah yang sama juga sedang dan telah diambil oleh universiti awam termasuk swasta Malaysia yang lain bagi meneroka ruang serta peluang di negara-negara lain yang berpotensi.

“KPT sentiasa menyokong apa jua pelan dan usaha yang dilakukan oleh IPT termasuklah agenda pemerkasaan pengantarabangsaan yang turut berada dalam radar meningkatkan potensi pendidikan tinggi negara.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri dan Kerajaan yang sentiasa menyokong segala usahasama KPT dan IPT untuk merekayasa pendidikan tinggi negara kepada tahap lebih baik,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembukaan bersejarah Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha, Qatar semalam telah meletakkan status pengajian tinggi negara di pentas dunia.

Beliau berkata UKM mengorak langkah yang unik dengan pembukaan kampus berkenaan apatah lagi universiti itu bermula sebagai sebuah institusi pengajian awam Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Anwar berharap langkah dirintis UKM itu akan membuka laluan lebih luas dan besar kepada universiti awam Malaysia yang lain untuk mengorak langkah serupa selepas ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekwan Toriman di atas kejayaan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.