Noraini Sekali Lagi Berbesar Hati Ziarahi Waris Mangsa Nahas Helikopter TLDM

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sekali lagi berbesar hati menziarahi waris mangsa kemalangan nahas dua helikopter berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 23 April lalu.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia dan rombongan menyantuni dua waris mangsa nahas di Lumut iaitu Allahyarhamah Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar dan Allahyarham Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun.

Dilaporkan, kedua-dua helikopter berkenaan sedang menjalani latihan raptai sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 5 Mei lalu.

“Lokasi ziarah pertama adalah ke rumah Allahyarhamah Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar, berumur 39 tahun yang meninggalkan seorang suami dan empat orang cahaya mata yang berusia antara enam hingga 16 tahun dan masih belajar.

“Kemudian saya juga berkesempatan menziarahi rumah kedua mangsa nahas iaitu Allahyarham Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun, berumur 36 tahun meninggalkan seorang isteri Nor Syuhada Jamil, 37, dan dua orang anak masing-masing berumur enam dan 10 tahun,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Noraini ketika menziarahi turut sama berkongsi kesedihan dan merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa di atas ujian yang menimpa.

Beliau dalam pada itu juga telah menyampaikan bantuan berjumlah RM3,000.00 di bawah Skim Pemberian Ehsan (Peka YKN), sumbangan kotak kasih berupa barangan dapur dan Kit Kasih Kanak-Kanak bagi meringankan beban keluarga mangsa.

“Sesungguhnya kehilangan wira-wira negara ini adalah satu kehilangan yang amat besar kepada negara. Al-Fatihah dibacakan dan disedekahkan buat wira-wira Negara kita yang terkorban dalam insiden nahas helikopter tempoh hari,” ujar beliau.

Turut serta dalam sesi ziarah ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Pengarah JKM Negeri Perak, Puan Hajah Nor Tipah Majin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.