Tidak Ada Parti Lain Boleh Gantikan UMNO, Jasa Terlalu Banyak Demi Perjuangan Bangsa – Tengku Hafiz

KUALA LUMPUR, 14 Mei – UMNO akan sentiasa menjadi wadah perjuangan orang Islam dan parti ini akan sentiasa mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta memelihara kedudukan raja-raja Melayu.

Sehubungan itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan menegaskan bahawa adalah mustahil ada mana-mana parti boleh menggantikan UMNO lantaran jasanya yang terlalu banyak.

“Nak ganti UMNO … pada saya ia amat mustahil. UMNO telah berjasa selama 78 tahun. Untuk saya sebagai pimpinan anak muda dalam UMNO, saya menyertai parti ini kerana saya terinspirasi dari perjuangannya demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian sebagai maklum balas terhadap dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang kononnya akan menggantikan UMNO.

Menurutnya, adalah mustahil untuk mana-mana parti menggantikan UMNO kerana jasanya kepada negara tidak akan dapat dilupakan.

“Saya rasa untuk membayar balik jasa-jasa yang UMNO beri kepada kita, seperti MARA, FELCRA, Felda… semua ni jasa UMNO. Jadi kalau parti lain yang baru dilahirkan oleh pengkhianat-pengkhianat nak tukar UMNO ini, for me, it’s impossible. Tak boleh.

“Untuk pengetahuan semua, semua Perdana Menteri adalah daripada kalangan Pergerakan Pemuda UMNO. Tak ada parti lain yang boleh melahirkan Perdana Menteri setakat ini. Pada saya, UMNO ini adalah kilang yang melahirkan Perdana Menteri dan pemimpin negara. So I don’t think any other party can replace UMNO,” katanya.

Beliau juga mengucapkan selamat ulang tahun ke-78 kepada UMNO yang sentiasa menjadi tunjang kepada kestabilan negara.

“Saya ingin mengucapkan selamat hari jadi kepada parti keramat orang Melayu, Islam di Malaysia iaitu UMNO. UMNO ini dah ada sebelum Merdeka dan sekarang kita dah bertapak selama 78 tahun.

“Walaupun kita mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, tapi saya percaya UMNO akan sentiasa menjadi wadah kepada perjuangan orang Islam dan kita akan sentiasa mempertahankan agama, bangsa, negara dan raja-raja Melayu,” katanya kepada UMNO Online.

Untuk rekod, parti keramat UMNO telah menyambut ulang tahunnya yang ke-78 pada 11 Mei iaitu Sabtu lalu yang diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.