Penyampaian Maklumat Amat Penting Untuk Kefahaman Rakyat – Ir Hasni

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berpandangan penyampaian maklumat yang betul kepada rakyat berhubung perkara-perkara kos sara hidup dan sebagainya amat penting agar mereka mendapat penjelasan sebaiknya.

Dalam sesi Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ke-15 Dewan Undangan Negeri  (DUN) Johor, beliau turut menyentuh beberapa perkara lain termasuklah peruntukan bajet untuk program-program seperti Program Semarak Subuh dan Dapur Kasih Johor.

“Saya juga menekankan pentingnya komunikasi yang berkesan dan penyampaian maklumat yang lebih baik kepada rakyat terutama dalam kita mendepani pelbagai cabaran seperti kos sara hidup yang meningkat, pekerjaan yang sesuai dan kemudahan infra yang lebih baik,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Katanya lagi sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, tugas terbesar sebagai wakil rakyat adalah untuk menjaga kebajikan Bangsa Johor.

“Selain itu, saya juga menyuarakan beberapa syor untuk memperkukuhkan kemakmuran dan kemajuan Negeri Johor melalui Zon Ekonomi Khas dan Zon Kewangan Khas,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.