Mohamad Teruskan Gerak Kerja, Iring PM Sempena Lawatan Ke Qatar

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan gerak kerja di Doha, Qatar dengan menghadiri Sesi Meja Bulat Bersama Pemain Utama Industri Qatar.

Katanya, mereka ini terdiri daripada 36 syarikat pelbagai sektor seperti makanan dan pemprosesan makanan, farmaseutikal, penerbangan, runcit dan pengedaran.

“Sesi ini telah memberikan peluang kepada Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk berinteraksi bersama pemain industri dengan prospek bagi membuat pelaburan di Malaysia.

“YAB Perdana Menteri telah menggariskan pelbagai usaha yang diambil oleh Kerajaan dalam memudah cara dan menarik lebih banyak pelaburan di Malaysia,” maklumnya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Jelas Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, antara kelebihan Malaysia yang menarik minat pelabur ialah kefasihan dalam pelbagai bahasa terutamanya Bahasa Inggeris. Malaysia juga mempunyai kelebihan dalam industri semikonduktor, kecerdasan minda (AI), tenaga boleh baharu (RE) dan Digital.

Dilaporkan, Anwar diberi sambutan rasmi oleh kerajaan Qatar sempena lawatan sulung beliau ke negara Asia Barat dengan disambut Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Selain Mohamad, turut mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi tiga hari itu adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.