Kemenangan PRK KKB Bukti Kepimpinan, Gerak Kerja UMNO Masih Relevan – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan beranggapan bahawa kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu membuktikan pemimpin dan gerak kerja UMNO masih relevan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, UMNO akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bangkit semula bagi memberi perkhidmatan secara dominan kepada rakyat.

“Kita akan berusaha sungguh-sungguh untuk bangkit semula. Daripada siri PRK yang berlaku, calon kita di Tioman, Pelangai menang… calon-calon yang kita bantu di Pulai, Simpang Jeram, dan Kuala Kubu Bharu juga menang. Kita telah memberi bantuan secara bersungguh-sungguh. Nasib tidak menyebelahi kita hanya di Kemaman.

“Oleh itu, jika melihat kepada trend ini, semangat UMNO tetap membara di mana-mana. Pada saat dan ketika ini, cawangan-cawangan empat peringkat iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri dan cawangan itu sendiri mengadakan mesyuarat tahunan. Ia berjalan dengan baik.

“Jadi dengan lain perkataan, UMNO ini adalah parti yang berakar umbi dan berstruktur. Beginilah parti kita sejak daripada dulu. Nasib tidak menyebelahi parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15 kerana politik persepsi,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sepanjang 78 tahun UMNO bertapak di negara ini, pelbagai sumbangan dan jasa telah disumbangkan terutamanya dari segi pembangunan.

“Jadi, kepada mereka yang ingin menggantikan UMNO… sejarah UMNO ini dah 78 tahun. Penuh dengan segala jasa. Antara jasanya ialah semua sepuluh orang Perdana Menteri merupakan pemimpin atau bekas pemimpin UMNO. Bayangkan segala jasa mereka itu dan sepuluh Perdana Menteri yang membina negara Malaysia ini mempunyai DNA UMNO.

“Pada saya, jasa UMNO cukup banyak. Tetapi oleh kerana kita ini mudah lupa, maka selalu perlu diperingatkan tentang jasa UMNO. Kalau kita keluar sahaja daripada rumah nampak sekolah, masjid, surau, hospital, jalan raya, lebuh raya, bangunan-bangunan… ia 99 peratus jasa UMNO/BN. Jadi, itu adalah hakikat yang berlaku di negara kita.

“Oleh itu, kita akan membangkitkan semangat dengan usaha yang berterusan, gigih dan bersungguh-sungguh. Saya ingin mengesyor agar pemimpin UMNO di semua peringkat untuk tidak menyepikan diri. Kita hendaklah pergi ke depan, mengadakan aktiviti seupaya mungkin supaya UMNO terus dilihat kekal relevan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di PRK DUN Kuala Kubu Bharu adalah disebabkan usaha bersungguh-sungguh semua pihak.

“Saya pergi ke Kuala Kubu Bharu 12 kali dengan ratusan program, aktiviti kecil, sederhana dan saya puas hati usaha yang dibuat bersungguh-sungguh itu membuahkan hasil kemenangan majoriti sebanyak 3,869.

“Ini merupakan kemenangan yang amat manis dan ia juga menunjukkan kerelevanan pemimpin dan gerak kerja UMNO di kawasan tersebut,” katanya lagi.

Pada Sabtu lalu media melaporkan calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao menang dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 3,869 undi.

Beliau berjaya memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabarnya calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.