Jentera Penerangan Terus Diperkasa, Keupayaan UMNO/BN Dalam Kerajaan Perpaduan Jadi Sandaran – Azalina

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Penerangan UMNO Malaysia akan terus melipatgandakan lagi usaha dalam memperkasakan jenteranya di setiap peringkat bagi memastikan imej UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus kukuh.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata melalui pelbagai strategi yang sedang diatur, usaha berkenaan bukanlah satu perkara yang mustahil dan apa yang utama adalah semua pihak perlu bergerak khususnya menguasai media sosial.

“Kita tidak boleh pergi perang kalau kita tidak mempunyai kemahiran. Antara kemahiran yang kita perlu ada di setiap bahagian ialah kemahiran media sosial. Semua orang tahu TikTok, semua orang tahu Facebook, semua orang tahu Twitter, betul… tapi bagaimana nak menggunakannya untuk memperkasakan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO yang disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Antara yang hadir Ketua-Ketua Penerangan negeri dan pimpinan bahagian yang lain.

Azalina seterusnya menambah dalam senario hari ini, imej UMNO dan BN akan terus diperkasakan melalui pelbagai medium termasuklah keupayaan menteri-menteri serta timbalan yang menganggotai Kerajaan Perpaduan hari ini.

Bagi beliau kejayaan urus tadbir dan kepelbagaian pencapaian yang dilaksanakan merupakan salah satu kelebihan untuk menonjolkan keupayaan UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini.

“Tujuan kita untuk memperkasakan imej UMNO dan BN melalui strategi komunikasi yang berkesan, melalui mesej yang jelas, konsisten dan mencapai sasaran demografi. Jadi daripada kajian kita, kita melihat bahawa tujuh menteri kita dan timbalan perlu menunjukkan kejayaan kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.