Suarakan Pandangan Dalam Mesyuarat Akar Umbi, Pemimpin Perlu Tahu Keperluan – Jeffery Nor

PUTATAN, 13 Mei – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, masyarakat khususnya akar umbi UMNO perlu menyuarakan dan memberi pandangan berkaitan apa-apa keperluan atau permasalahan setempat.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, persidangan peringkat cawangan UMNO yang sedang berlangsung sekarang adalah ruang terbaik kepada anggota akar umbi parti bersuara.

“Saya telah meminta agar semua anggota parti mengeluarkan pendapat terhadap keperluan iaitu bukan hanya keperluan peribadi tetapi juga permasalahan di kampung-kampung agar kita pemimpin atasan tahu apakah keinginan dan keperluannya,” katanya.

Jeffery Nor telah melaksanakan perasmian cawangan-cawangan UMNO serta ceramah umum berkaitan isu-isu semasa di Taman Pantai Lok Kawi, semalam.

Sehubungan itu beliau mengucapkan syabas kepada mereka yang telah bertungkus-lumus memenuhi amanah sebagai ahli UMNO dalam melaksanakan mesyuarat UMNO cawangan.

“Saya sempat turun ke dua tempat persidangan cawangan iaitu Cawangan Kampung Pituru dan Cawangan Kampung Sri Pandan. Alhamdulillah, selesai persidangan cawangan-cawangan seluruh bahagian P173 Putatan yang berlangsung selama tiga minggu berturut-turut.

“Tinggal dua cawangan saja yang mohon penangguhan atas masalah yang tidak dapat dielakkan. Tahniah semua cawangan yang dapat bersidang dengan masing-masing bermesyuarat sendiri dan bukannya secara berkelompok.

“Tahniah dan terima kasih juga kepada semua anggota parti, Setiausaha UMNO Bahagian, pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri serta semua pelapor yang telah memberi kerjasama terbaik,” katanya lagi.

Untuk rekod, Mesyuarat peringkat Cawangan UMNO sedang berlangsung sejak bermula 22 April lalu dan dijadualkan hingga 2 Jun depan melibatkan lebih 20,000 cawangan di seluruh negara.

Selesai persidangan cawangan UMNO akan disusuli mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.