SUA Teruskan Jelajah Ke UMNO Sungai Siput, Diskusi Isu Semasa Bersama Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meneruskan siri jelajah bertemu kepimpinan bahagian dalam usaha mengukuhkan lagi parti keramat ini.

Setelah ke UMNO Bahagian Port Dickson dan Masjid Tanah hujung minggu lalu, beliau pada Ahad ke UMNO Bahagian Sungai Siput bertemu dengan akar umbi untuk berdiskusi hala tuju parti dan isu-isu semasa negara.

“Meneruskan jelajah ke UMNO Bahagian Sungai Siput bagi Majlis Perasmian Serentak UMNO Cawangan-cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Sungai Siput bertempat di D’Village Hotel & Villas Karai Enggor, Perak.

“Saya bertukar-tukar pandangan dan amat teruja kerana menerima banyak soalan secara terus daripada ahli akar umbi berkenaan isu-isu semasa dan berkaitan parti UMNO ini,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Asyraf pada masa sama meluahkan keterujaan beliau dengan kejituan dan semangat akar umbi UMNO Bahagian Sungai Siput dalam meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan parti.

“UMNO Bahagian Sungai Siput yang sejak 2018 kejatuhan kerajaan BN tiada satu pun cawangan yang ditutup malah jumlah keahlian bertambah serta mencatat peningkatan undi dalam Pilihan Raya DUN Lintang dari PRU14 hinggalah PRU15. Satu yang amat membanggakan.

“Semoga kita terus kekal istiqamah dalam perjuangan parti ini demi kelangsungan agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput merangkap ADUN Lintang yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Sungai Siput

Untuk rekod, UMNO Sungai Siput merupakan bahagian yang ke-37 dalam sesi jelajah pencerahan SUA UMNO ke bahagian-bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.